Gambar tangkap layar daripada rakaman video yang dikongsikan dalam media sosial. - Foto TikTok

Netizen Tertarik Lihat Video Gelagat ‘Pemalu’ Harimau Malaya Mengintai

KUALA LUMPUR – Gelagat seekor harimau Malaya yang dilihat mengintai dari dalam longkang di tepi jalan berhampiran Gua Musang menghala ke Cameron Highlands, menarik perhatian pengguna media sosial selepas rakamannya tular.

Video berkenaan dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial menerusi akaun H@f!zOl Cameron, memaparkan haiwan liar itu menyorok di dalam longkang sebelum mengangkat kepala secara berhati-hati untuk mengintai keadaan sekeliling.

Harimau itu kemudian dilihat keluar dari tempat persembunyiannya sebelum melintas jalan, sekali gus membolehkan perakam melihat haiwan berkenaan dengan lebih jelas.

Individu yang memuat naik rakaman itu turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada ketika melalui laluan berkenaan dan tidak memberhentikan kenderaan untuk mendekati haiwan tersebut kerana boleh mengundang risiko serangan.

Rakaman itu turut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang berseloroh mengenai penampilan harimau berkenaan, termasuk menyifatkannya sebagai ‘comel’ dan menggelarnya ‘kucing besar’.

“Boleh tak sesiapa bela ‘kucing’ kecil yang malang ini?” tulis seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi pengguna pula tertarik dengan renungan mata haiwan itu, manakala beberapa netizen lain berseloroh bertanya sama ada terdapat pihak yang sudi menyediakan tempat tinggal untuk ‘kucing besar’ berkenaan.

Bagaimanapun, di sebalik reaksi menghiburkan itu, kemunculan harimau Malaya berkenaan mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah kehadiran haiwan liar berkenaan yang boleh membahayakan keselamatan.

Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya kekal berada di dalam kenderaan, menjaga jarak selamat dan tidak mengganggu haiwan berkenaan, selain segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terserempak dengan hidupan liar di laluan berkenaan.

Sumber: Berita Harian

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *