Tidak Pulang Selepas Kuliah, Ustaz Hamdi Ditemukan Lemas Di Sungai
SEGAMAT – Kehilangan seorang guru takmir daerah Segamat yang tidak pulang ke rumah selepas selesai menyampaikan kuliah pada malam Rabu akhirnya terjawab apabila beliau ditemukan meninggal dunia akibat lemas selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam sungai berhampiran Ladang Mados, di sini.
Mangsa, Ustaz Hamdi Abdul Razab, 34, dipercayai terlibat dalam kejadian apabila kereta yang dipandunya ditemukan dalam keadaan terbalik di dalam sungai.
Kehilangan Allahyarham mula disedari isterinya yang berusia 28 tahun selepas mendapati mangsa masih belum pulang ke rumah. Isterinya turut menyedari kelibat mangsa tidak kelihatan keluar melalui pintu pagar utama ladang berkenaan selepas waktu Isyak.
Beberapa kakitangan ladang kemudian berusaha mencari mangsa kerana pada awalnya menyangka Allahyarham tersesat di kawasan tersebut. Bagaimanapun, usaha pencarian terpaksa dihentikan susulan hujan lebat dan paras air yang semakin meningkat.
Susulan mangsa masih belum pulang, isterinya membuat laporan polis berhubung kehilangan itu pada jam 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada jam 7 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Axia yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari Ladang Mados menuju ke Segamat dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam anak Sungai Kapeh.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Jumazanzahir turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adzrull Hisham, menerusi talian 07-9325811 bagi membantu siasatan.
Sumber : Metro Online

