Gambar Hiasan

Mayat Lelaki dengan 70 Peratus Tubuh Terbakar Ditemui

PASIR GUDANG – Orang awam menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terbakar di kawasan berhampiran landasan kereta api laluan Kempas-Pasir Gudang, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihak polis menerima laporan mengenai penemuan itu kira-kira jam 4.20 petang, membabitkan kawasan antara kilometer 22.50 hingga kilometer 22.75 di laluan berkenaan.

Susulan laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam bersama pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, telah dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati mangsa ialah seorang lelaki yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditemukan. Kira-kira 70 peratus tubuh mangsa dilaporkan mengalami kesan terbakar.

Mayat berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Pasir Gudang untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Mohd Sohaimi berkata, hasil pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan pada hari berkenaan mengesahkan bahawa kematian mangsa berpunca daripada kecederaan melecur atau terbakar yang serius.

Beliau turut memaklumkan bahawa kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *