Aplikasi TuJu Naik Taraf Sistem, Fungsi Navigasi Terganggu Sementara
KUALA LUMPUR – Aplikasi navigasi TuJu sedang menjalani proses naik taraf sistem yang menyebabkan fungsi navigasinya terganggu buat sementara waktu, hanya sehari selepas kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia beralih daripada Waze kepada aplikasi alternatif tempatan itu.
Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan perkara itu menerusi notis yang disiarkan di akaun rasmi X agensi berkenaan.
“Aplikasi TuJu sedang menjalani penambahbaikan sistem bagi memberikan pengalaman perjalanan yang lebih baik.
“Sepanjang tempoh ini, fungsi navigasi akan terganggu buat sementara waktu, manakala paparan kamera litar tertutup (CCTV) dan fungsi lain yang tersedia masih boleh digunakan seperti biasa,” menurut notis itu.
Bagaimanapun, notis berkenaan tidak memaklumkan bila fungsi navigasi aplikasi tersebut akan kembali beroperasi sepenuhnya.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas kerajaan mengarahkan penjawat awam supaya tidak menggunakan aplikasi Waze ketika menjalankan tugas rasmi, susulan kebimbangan mengenai keselamatan data dan kaitan aplikasi berkenaan dengan Israel.
Arahan berkuat kuasa serta-merta itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kemudian mengarahkan ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan memastikan arahan itu disampaikan kepada penjawat awam di bawah seliaan masing-masing.
Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) kemudiannya menjelaskan bahawa sekatan tersebut hanya terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Perdana Menteri menggalakkan rakyat Malaysia menghentikan penggunaan Waze dan mempertimbangkan aplikasi alternatif buatan tempatan, termasuk TuJu.
Kerajaan menyuarakan kebimbangan bahawa maklumat pergerakan pengguna dan data peribadi berisiko terdedah atas faktor keselamatan kerana operasi Waze tertakluk kepada undang-undang Israel.
TuJu dibangunkan menerusi kerjasama antara LLM dan Prosignal Consortium Sdn Bhd.
Aplikasi itu menyediakan pelbagai fungsi, termasuk navigasi laluan, anggaran masa ketibaan, maklumat tol, kemas kini trafik serta akses kepada siaran langsung kamera CCTV lebuh raya.
Pengguna turut boleh mendapatkan maklumat mengenai kawasan rehat dan rawat (R&R) serta bantuan kecemasan menerusi aplikasi berkenaan.
Sumber : Metro Online

