Gambar Online

Rumah Zalina Azman Didakwa Diceroboh, Polis Bakal Panggil Individu Terbabit

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, individu terbabit akan dipanggil untuk memberikan penjelasan berhubung tindakannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak polis akan meneliti perkara itu terlebih dahulu bagi mengenal pasti tindakan yang boleh diambil.

Dalam perkembangan berkaitan, Sarudin memaklumkan siasatan berhubung kehilangan Zalina masih diteruskan, namun setakat ini belum terdapat petunjuk kukuh yang membolehkan tindakan lanjut diambil.

SHAH ALAM – Polis akan memanggil seorang pencipta kandungan yang memasuki kediaman bekas personaliti televisyen, Zalina Azman, di sini bagi mendapatkan penjelasan mengenai tindakannya memasuki rumah itu dan berkongsi kandungannya di media sosial.

Menurutnya, polis sudah mengambil tindakan terhadap setiap maklumat dan petunjuk baharu yang diterima, tetapi masih belum menemui petunjuk kukuh berhubung kehilangan wanita itu.

Beliau berkata, polis turut menyemak rekod keluar masuk Jabatan Imigresen, namun semakan itu belum memberikan sebarang perkembangan baharu berkaitan kehilangan Zalina.

Mengulas dakwaan kediaman wanita itu diceroboh, Sarudin berkata, keadaan rumah menunjukkan terdapat individu yang pernah memasukinya sebelum ini.

Hasil semakan polis mendapati empat unit pendingin hawa di rumah berkenaan dipecahkan, manakala batang paip sinki turut dilaporkan hilang.

Dalam pada itu, rondaan berkala di kawasan kediaman berkenaan masih dijalankan oleh Balai Polis Seksyen 6.

Terdahulu, tular perkongsian seorang pencipta kandungan yang mengunjungi kediaman Zalina bagi meninjau keadaan rumah itu susulan misteri kehilangannya sejak November 2021.

Terbaharu, pencipta kandungan dikenali sebagai Shukri berkongsi perkembangan hasil kunjungannya apabila bilik di tingkat atas yang berkunci ketika lawatan pertama didapati sudah terbuka dan boleh dimasuki.

Berdasarkan beberapa gambar yang dikongsikan, pelbagai barangan dipercayai milik Zalina masih berada di dalam rumah berkenaan, termasuk wang syiling rupiah, buku bank, pakaian, barangan mandian serta beberapa barangan peribadi lain.

Bagaimanapun, keadaan rumah itu kelihatan berselerak, manakala beberapa peralatan elektrik, termasuk pendingin hawa, dilihat sudah ditanggalkan.

Sebelum ini, Zalina dilaporkan gagal dihubungi sejak 24 November 2021 selepas anaknya, Mikhael Norman, cuba menghubunginya untuk memaklumkan bahawa bapanya dimasukkan ke hospital.

Sehingga kini, kehilangan Zalina masih menjadi misteri. Polis mengekalkan status kes berkenaan sebagai Orang Hilang (OH) kerana tiada bukti sahih yang menunjukkan wanita itu meninggal dunia atau meninggalkan negara.

Kes itu kekal terbuka sementara polis meneruskan siasatan serta menyemak sebarang petunjuk baharu yang diterima.

Sumber : Metro Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *