Neymar Digantung Dua Perlawanan, Santos Terpaksa Beraksi Tanpa Kapten
SANTOS (Brazil) – Kapten Santos, Neymar, dikenakan penggantungan dua perlawanan selepas menutup mulut ketika bertengkar dengan pemain Bahia dalam aksi Serie A Brazil, Sabtu lalu, menurut Mahkamah Keadilan Sukan Tertinggi Brazil (STJD), semalam.
Pemain berusia 34 tahun itu dilayangkan kad merah selepas bertelagah dengan pemain tengah Bahia, Rodrigo Nestor. Tribunal sukan kemudian mendapati Neymar bersalah kerana melanggar peraturan Vinicius Jr. yang melarang pemain menutup mulut ketika berkonfrontasi di atas padang.
Menurut STJD, laporan pengadil turut menyatakan Neymar berlari ke arah bangku simpanan pasukan pelawat selepas dilayangkan kad merah untuk bersemuka dengan lawannya. Dia bagaimanapun terpaksa ditenangkan oleh rakan sepasukan dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 itu.
Penggantungan berkenaan menyaksikan Neymar terlepas tiga perlawanan Santos seterusnya. Dia sudah pun digantung bagi aksi liga menentang Palmeiras hari ini selepas mengumpul tiga kad kuning, manakala dua lagi perlawanan merupakan hukuman susulan pelanggaran protokol berkenaan.
Neymar dan Santos boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan penggantungan yang dikenakan berkaitan pelanggaran tersebut.
Penggantungan terbaharu itu hadir tiga bulan selepas bekas kapten Brazil berkenaan menjadi pemain pertama dalam liga utama Brazil yang diarahkan keluar padang buat sementara waktu di bawah peraturan baharu yang sedang diuji bagi membendung tindakan penjaga gol melengahkan permainan.
Neymar dijangka hanya kembali beraksi pada penghujung November ini.
Sumber : Berita Harian Online

