MCMC Perluas Kerjasama Strategik, Tingkat Kecekapan Perkhidmatan Kurier
SHAH ALAM – Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil hari ini hadir merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2026 (HKN2026) yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor, Shah Alam.
Bertemakan “Memelihara Industri, Memperkukuh Kepercayaan”, sambutan anjuran Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan sokongan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu mengiktiraf sumbangan industri pos dan kurier yang bernilai RM6.9 bilion kepada ekonomi digital negara.
Kerajaan terus komited memperkasa industri berkenaan melalui pembaharuan kawal selia, kerjasama strategik dan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, daya saing industri serta keselamatan pengguna.
Dalam usaha memperkukuh kawal selia, kerajaan kini meneliti cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 [Akta 741]. Kerajaan turut merancang untuk mewartakan Kaedah-kaedah Perkhidmatan Pos (Keselamatan Perkhidmatan Pos dan Barang Pos yang Dilarang) 2026 (PSR2026), tertakluk kepada proses kelulusan berkaitan.
Langkah tersebut bertujuan meningkatkan tahap keselamatan, akauntabiliti industri dan perlindungan pengguna selaras dengan perkembangan pesat sektor e-dagang.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Inisiatif Anti-Scam Parcel Shield yang diterajui Postal Forum dengan sokongan MCMC. Inisiatif itu diwujudkan bagi menangani penipuan berkaitan penghantaran bungkusan, menggalakkan perkongsian maklumat antara syarikat kurier dan platform e-dagang serta menyebarkan amaran penipuan demi meningkatkan perlindungan dan keyakinan pengguna.
Selain itu, MCMC turut menggalakkan pelaksanaan Inisiatif Perkongsian Rangkaian Kurier (Courier Network Sharing).
Menerusi pemeteraian memorandum kolaborasi, projek rintis penghantaran peringkat akhir (last-mile delivery) di lokasi terpilih akan dijalankan bagi menilai potensi pengoptimuman infrastruktur, mengurangkan pertindihan operasi dan meningkatkan akses perkhidmatan sebelum sebarang peluasan dipertimbangkan.
Aspek transformasi digital pula diperkukuh melalui pembangunan Sistem Pengalamatan Nasional (National Address System – NAS) bagi meningkatkan ketepatan alamat serta kecekapan penghantaran.
Pada masa sama, PAKEJ Map diperkenalkan bagi memudahkan pengguna mencari lebih 47,000 lokasi perkhidmatan pos dan kurier di seluruh negara.
HKN2026 turut menghargai sumbangan serta profesionalisme warga industri menerusi penyampaian anugerah Pekerja Kurier Terbaik, penganjuran Cabaran Pemanduan Selamat dan pelaksanaan program MyCSP Courier Safety Passport, dengan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan serta kualiti perkhidmatan.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Dato’ Seri Halim Hamzah; Pengarah Urusan MCMC, Encik Abdul Karim Fakir Ali; Pengerusi AMEC, Encik Ronald Tan; serta wakil agensi kerajaan dan pemain industri pos dan kurier.
Sumber : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

