Tiga Lelaki Serang Mangsa Dengan Parang, Lelaki 48 Tahun Meninggal Dunia
TELUK INTAN – Seorang lelaki berusia 48 tahun meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa serangan tiga lelaki bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai di Taman Banjar Jaya, di sini, pada Selasa.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.53 petang itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan akibat kecederaan yang dialaminya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa diserang oleh tiga lelaki menggunakan senjata tajam jenis parang.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Wanita Tempatan Ditahan Bantu Siasatan
Chua berkata, polis turut menahan seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis Minta Orang Ramai Salurkan Maklumat
Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian, termasuk pergerakan individu atau kenderaan yang mencurigakan di sekitar lokasi, supaya tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menerusi talian 05-629 9222 atau dengan hadir ke balai polis berhampiran.
Sumber : Sinar Harian Online

