Lebih 8,800 Penerbangan Lewat, 2,400 Lagi Dibatalkan Di Amerika Syarikat
WASHINGTON: Ribuan penerbangan di Amerika Syarikat (AS) masih berdepan pembatalan dan kelewatan ketika sistem kawalan trafik udara negara itu dalam proses pemulihan susulan kegagalan teknikal yang menyebabkan semua pesawat diarahkan menghentikan operasi berlepas, dalam kejadian luar biasa yang melibatkan seluruh negara.
Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy berkata, operasi penerbangan dijangka kembali pulih seperti biasa selewat-lewatnya pada Isnin.
“Kami mempunyai pesawat dan kru yang berada di lokasi tidak sepatutnya, jadi keadaan ini memerlukan sedikit masa untuk dipulihkan,” katanya kepada rakan penyiar CBS.
Pada Ahad, lebih 8,800 penerbangan mengalami kelewatan, manakala 2,400 lagi dibatalkan.
Presiden Donald Trump pada hari sama menggesa Kongres supaya meluluskan peruntukan tambahan bagi tujuan memodenkan sistem kawalan trafik udara negara itu.
Arahan menghentikan semua pesawat yang dijadualkan berlepas dari AS pada Jumaat lalu mencetuskan kekacauan di lapangan terbang di seluruh negara.
Ketika Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengumumkan pada pukul 3.54 petang waktu tempatan bahawa semua penerbangan dihentikan sehingga diberitahu kelak, lebih 3,500 pesawat sedang berada di udara.
Sebahagian pesawat terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain, manakala pesawat selebihnya meneruskan penerbangan ke destinasi masing-masing.
Menurut laman pemantauan penerbangan FlightAware, sebanyak 8,500 penerbangan mengalami kelewatan, sementara 8,000 lagi dibatalkan susulan kejadian itu.
Arahan berkenaan menyebabkan penumpang terkandas di dalam pesawat yang berada di landasan tanpa dapat berlepas atau kembali ke pintu pelepasan.
Penumpang lain pula terpaksa menghabiskan malam di lapangan terbang dengan tidur di lantai, selain berusaha menghubungi syarikat penerbangan masing-masing.
Gangguan berkenaan turut menjejaskan jadual penerbangan antarabangsa, termasuk beberapa penerbangan dari United Kingdom (UK) dan Eropah yang terpaksa dibatalkan.
Arahan menghentikan penerbangan itu ditarik balik selepas kira-kira empat setengah jam, namun kesannya masih berlanjutan sepanjang hujung minggu.
Pada Sabtu, syarikat penerbangan membatalkan lebih 5,900 penerbangan, manakala lebih 7,000 penerbangan lain mengalami kelewatan.
Pihak penyiasat masih menjalankan usaha untuk mengenal pasti punca sebenar kegagalan teknikal berkenaan serta pihak yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, Duffy berkata, pihak pentadbiran mengambil keputusan menghentikan penerbangan selepas sistem utama yang membolehkan pengawal trafik udara berkomunikasi dengan juruterbang mengalami kegagalan.
Beliau menjelaskan, sebuah router yang dipasang sebagai sebahagian daripada kerja menaik taraf sistem daripada penggunaan wayar tembaga kepada gentian optik mula menghantar isyarat tidak tepat.
Menurutnya, peralatan yang berfungsi mengarahkan trafik dalam rangkaian itu dipasang di El Dorado, Arkansas, sekali gus menyebabkan rangkaian sistem berkenaan dibanjiri isyarat.
Duffy berkata, masalah seumpama itu akan terus berulang selagi AS tidak melaksanakan perubahan besar bagi memodenkan sistem kawalan trafik udaranya.
Beliau menegaskan bahawa sistem berkenaan memerlukan penambahbaikan secara menyeluruh.
Sumber : Metro Online

