FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara

Tangan Kanan Atlet Angkat Berat Hafizuddin Terpaksa Dipotong

KUALA LUMPUR – Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin selesai menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi, namun tangan kanannya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong.

Perkara itu disahkan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat yang memaklumkan bahawa keputusan memotong tangan atlet berusia 22 tahun itu dibuat atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya.

“Udin selesai menjalani pembedahan lebih tujuh jam tadi di HKL. Doktor cuba menyelamatkan tangannya. Tetapi tangan kanannya terpaksa dipotong pada paras atas siku kerana keadaan itu mungkin mengancam nyawanya,” katanya ketika dihubungi.

Hafizuddin, yang mesra disapa Udin, sebelum ini dilaporkan terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil kira-kira jam 11 malam semalam.

Atlet kelahiran Perlis itu sebelum ini meraih pingat emas dalam kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan sebanyak 345 kilogram.

Kejayaan berkenaan turut menyaksikan beliau mencipta rekod kebangsaan baharu bagi acara snatch menerusi angkatan 162 kilogram, selain memecahkan rekod Sukan Komanwel dalam kategori tersebut.

Sementara itu, keluarga Hafizuddin yang turut berada di HKL meminta agar diberikan ruang dan menyerahkan kepada pihak sewajarnya untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sumber : Metro Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *