Mira Filzah (tengah) sewaktu di pelancaran drama I’m Not Okay, Cikgu!

Mira Filzah Seru Masyarakat Peka Terhadap Emosi Kanak-Kanak

Frasa ringkas “saya okey” sering menjadi jawapan paling mudah bagi golongan muda untuk menyembunyikan tekanan emosi yang sebenarnya sedang membebani diri mereka.

Realiti yang jarang disedari oleh masyarakat sekeliling itu kini diketengahkan sebagai naratif utama menerusi sebuah siri mini vertikal bertajuk I’m Not Okay, Cikgu!.

Karya kreatif yang mengangkat isu kesihatan mental dalam kalangan generasi muda itu dihasilkan dengan sokongan penuh Yayasan Hasanah dan mula ditayangkan menerusi pelbagai platform media sosial sejak 16 November lalu.

Siri yang dibintangi Mira Filzah, Waheeda Wassini, Mia Sara Shauki, Zul Zamir, Jun Vinh Teoh, Meer Nash dan Syafiqah A. Pohan itu secara tidak langsung mendidik penonton mengenai kepentingan mengenali tanda-tanda awal apabila seseorang memerlukan sokongan.

Menurut Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki, penghasilan siri drama vertikal lima episod dengan jalan cerita berbeza itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk bergerak melangkaui kempen kesedaran semata-mata, ke arah tindakan yang lebih bermakna.

Katanya, pendekatan mengetengahkan isu berkenaan melalui penceritaan kreatif dalam kandungan digital dilihat sebagai antara kaedah paling berkesan untuk mendekati generasi muda.

“Usia muda tidak bermakna masalah yang dihadapi itu kecil. Apa yang kalian rasakan tetap penting dan tidak perlu berpura-pura bahawa semuanya baik-baik sahaja sepanjang masa.

“Kami berharap siri ini dapat membantu golongan muda mengenali rakan, bahawa apabila sesuatu keadaan menjadi sebaliknya.

“Sebagai golongan dewasa, kita juga mempunyai tanggungjawab. Kita perlu mendengar dan memberikan ruang kepada mereka untuk meluahkan perasaan, bukannya memperkecilkan apa yang mereka alami atau terburu-buru memberikan nasihat,” katanya.

Pendekatan penerbitan siri itu turut mencerminkan kepercayaan Yayasan Hasanah bahawa usaha menyokong pendidikan perlu melangkaui pencapaian akademik bagi memastikan golongan muda menikmati kesejahteraan hidup secara menyeluruh, termasuk dari aspek rohani dan jasmani.

“Kesejahteraan emosi, perkembangan peribadi serta keupayaan mereka mengharungi cabaran kehidupan juga sama penting.

“Adakala, mengetahui bahawa seseorang sedia mendengar sahaja sudah mampu membawa perubahan yang besar,” katanya.

Sementara itu, pengarah drama berkenaan, Nell Hanan menjelaskan bahawa cabaran terbesar dalam penulisan dan pengarahan karya tersebut adalah untuk mengimbangi kekuatan penceritaan dengan elemen pendidikan supaya hasilnya tidak kelihatan seperti iklan khidmat masyarakat semata-mata.

Atas sebab itu, beliau memilih untuk menghasilkan sebuah naskhah yang bukan sahaja menghiburkan, malah berpotensi meninggalkan impak berpanjangan sebagai panduan kepada golongan remaja.

“Saya menyeru orang ramai agar menyokong dan menularkan siri ini dalam pelbagai platform media sosial.

“Sambutan positif akan mewujudkan permintaan tinggi daripada penonton dan perkara itu amat penting bagi membuka ruang kepada penghasilan lebih banyak karya yang mengangkat isu kesedaran sosial pada masa akan datang,” ujarnya.

Bagi Mira Filzah yang merupakan antara pelakon utama, beliau mengakui menerima tawaran untuk membintangi drama berkenaan tanpa sebarang keraguan.

“Saya tertarik dengan subjek berkenaan kerana menyedari peningkatan isu tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah pada masa kini.

“Saya juga harap masyarakat tidak memandang ringan isu berkaitan emosi.

“Jangan pendam perasaan seorang, sebaliknya luahkannya dengan kawan, ibu bapa atau guru supaya beban yang ditanggung menjadi lebih ringan,” tuturnya.

Sumber : Kosmo Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *