Lokasi penunggang p-hailing tidak bergerak dalam paparan aplikasi. (Gambar kanan) Tangkap layar kiriman mesej dihantar Fathin Aleya kepada penunggang p-hailing yang tidak dibaca dan dibalas. - Foto ihsan Fathin Aleya

2 Jam Mesej Tak Dibalas, Wanita Terkedu ‘Rider’ Rupanya Maut Kemalangan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita tidak menyangka mesej yang dihantar kepada penunggang p-hailing bagi bertanyakan status penghantaran barangnya tidak berbalas kerana lelaki berkenaan dipercayai telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Fathin Aleya, 27, berkata beliau hanya mengetahui kejadian menimpa penunggang itu selepas rakannya menghubungi nombor telefon lelaki berkenaan dan dimaklumkan oleh individu tidak dikenali bahawa penunggang tersebut maut di lokasi kejadian.

“Bulu roma saya meremang, terkejut dan sedih sangat dapat tahu kejadian sebenar kerana saya yang buat pesanan itu,” katanya ketika menceritakan pengalaman berkenaan.

Eksekutif kewangan itu berkata beliau membuat pesanan cop jam kira-kira 10.30 pagi semalam untuk dihantar dari Shah Alam, Selangor ke pejabatnya di Sri Hartamas, di sini.

Bagaimanapun, beliau mula berasa pelik apabila pesanan berkenaan masih belum diterima selepas lebih sejam, selain mendapati lokasi penunggang yang dipaparkan menerusi aplikasi penghantaran tidak berubah.

“Pada mulanya, saya fikir mungkin penunggang itu sedang menunggu pesanan lain. Saya kemudian menghantar mesej kepadanya tetapi tidak dibaca atau dibalas.

“Selepas hampir dua jam, lokasi penunggang masih sama dan ketika itu saya mula berasa tidak sedap hati,” katanya.

Fathin Aleya berkata beliau kemudian menceritakan perkara itu kepada rakan sekerja yang mencadangkan supaya penunggang berkenaan dihubungi kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku.

Menurutnya, panggilan pertama tidak dijawab, namun panggilan berikutnya yang dibuat rakannya dijawab seorang individu yang memaklumkan penunggang itu terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata sejurus menerima perkhabaran berkenaan, beliau menghubungi pihak syarikat penghantaran menerusi ruangan mesej dalam aplikasi sebelum dihubungi wakil syarikat itu beberapa minit kemudian bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Fathin Aleya yang berkongsi kejadian berkenaan di media sosial berkata tujuan asal perkongsiannya adalah untuk membantu mengesan waris penunggang terbabit yang ketika itu belum dapat dihubungi.

Bagaimanapun, hantaran tersebut mendapat perhatian ramai sehingga beberapa pengguna media sosial tampil berkongsi maklumat berkaitan kejadian itu.

“Setakat ini, hanya rakan terdekat arwah yang menghubungi saya dan saya belum menerima sebarang panggilan daripada ahli keluarganya.

“Walaupun tidak mengenalinya, saya doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Dalam pada itu, Fathin Aleya berharap orang ramai lebih memahami cabaran dan risiko dihadapi penunggang p-hailing yang perlu bekerja dalam pelbagai keadaan cuaca serta berdepan tekanan untuk memastikan pesanan dihantar mengikut masa ditetapkan.

Beliau turut menasihatkan pelanggan supaya bersabar sekiranya penghantaran mengambil masa lebih lama daripada dijangka kerana tidak mengetahui situasi sebenar yang mungkin dihadapi penunggang di jalan raya.

“Untuk semua yang membuat pesanan, saya minta supaya bersabar walaupun perlu menunggu lama kerana kita tidak tahu apa yang berlaku di jalan raya. Doakanlah keselamatan mereka.

“Untuk penunggang pula, jaga diri dan jangan terlalu mengejar penghantaran sehingga mengabaikan keselamatan kerana rezeki boleh dicari tetapi nyawa tiada ganti,” katanya.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *