Budak Setahun 8 Bulan Dilaporkan Hilang Sudah Ditemui

KUALA KRAI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan yang dilaporkan hilang lebih 18 jam ditemukan selamat di kawasan semak dalam kebun getah berbukit di Kampung Bechah Salak di sini, pada Isnin.

Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul Najmi ditemukan pada 10.20 pagi oleh seorang penoreh getah yang sedang menebas rumput di kebunnya, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, Pegawai Bomba Tinggi II Zulhimi Baharudin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua itu membabitkan kira-kira 32 anggota daripada pelbagai agensi.

Beliau berkata operasi turut dibantu unit K9 yang terdiri daripada tiga anggota dan seekor anjing pengesan bagi mengesan lokasi mangsa.

“Radius pencarian pada hari kedua memfokuskan kawasan sekitar 500 hingga 600 meter dari rumah mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa ditemukan dalam keadaan selamat di kawasan lebih jauh, iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi dilaporkan hilang,” katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Menurutnya, mangsa yang hanya memakai lampin pakai buang ditemukan selepas penoreh getah berkenaan terdengar tangisan kanak-kanak ketika sedang menebas rumput.

Beliau berkata terdapat sedikit kesan darah pada kaki mangsa yang dipercayai akibat gigitan pacat, selain kesan gigitan nyamuk di bahagian belakang badan.

Mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan semak sebelum diserahkan kepada keluarganya.

“Seterusnya, mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut menggunakan ambulans bomba,” katanya.

Operasi SAR yang bermula pada petang Ahad itu turut membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, pasukan bomba sukarela Guchil, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta unit K9.

Sumber: Sinar Harian

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *