Bukan Milik JBPM Atau Bomba Sukarela, Kenderaan Tular Dalam Siasatan
ALOR SETAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan sebuah kenderaan persendirian yang tular di media sosial kerana menggunakan tulisan bomba serta lampu amaran khas bukan kenderaan rasmi jabatan berkenaan.
Dalam satu kenyataan, JBPM Kedah memaklumkan kenderaan itu juga bukan milik mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini.
“Untuk makluman, pihak jabatan mengesahkan bahawa kenderaan tersebut tidak tersenarai sebagai kenderaan rasmi JBPM mahupun mana-mana PBS di negeri Kedah.
“Pihak jabatan sedang mengambil tindakan lanjut berhubung perkara ini,” menurut kenyataan itu.
JBPM Kedah memandang serius sebarang penggunaan identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai, selain berpotensi menjejaskan imej dan kredibiliti perkhidmatan kebombaan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan penyebaran maklumat berkaitan perkara ini tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“JBPM Negeri Kedah merakamkan penghargaan atas keprihatinan orang ramai dalam menyalurkan maklumat berkaitan isu ini. Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu memastikan maklumat yang disebarkan adalah tepat dan sahih,” menurut kenyataan itu.
JBPM Kedah menegaskan pihaknya sentiasa komited dalam memelihara integriti dan profesionalisme jabatan serta memastikan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kebombaan terus terpelihara.
Terdahulu, tular di media sosial gambar dan video sebuah kenderaan yang menggunakan tulisan bomba dan didakwa melakukan kesalahan jalan raya di Sungai Petani, baru-baru ini.
Sumber : Kosmo Online

