Gambar Hiasan

Google Berdepan Tuntutan RM300 Juta Susulan Isu Kandungan Papagomo

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman bernilai RM300 juta terhadap Google LLC atas dakwaan kecuaian berhubung penerbitan semula kandungan palsu berunsur fitnah di platform YouTube oleh penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

MCMC selaku plaintif memfailkan saman terhadap syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu pada 23 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan Sitham & Associates.

Dokumen saman berkenaan diperoleh media pada Selasa, manakala semakan sistem mahkamah mendapati pengurusan kes ditetapkan pada 8 Disember ini menerusi e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar, Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Dalam pernyataan tuntutan, MCMC memaklumkan pihaknya menerima aduan pada 12 Ogos lalu dan mengenal pasti penerbitan semula kandungan oleh Wan Muhammad Azri yang boleh diakses menerusi platform YouTube.

Susulan itu, MCMC mengeluarkan notis pada 19 Oktober dengan mendakwa Google gagal melaksanakan kewajipan statutori bebas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta syarat pelesenannya sehingga menyebabkan kandungan terbabit terus disebarkan.

MCMC turut mendakwa Google tidak mengambil langkah proaktif yang munasabah untuk menilai dan menyiasat secara bebas kandungan yang dipertikaikan serta saluran YouTube Wan Muhammad Azri selepas menerima notis berkenaan.

Menurut suruhanjaya itu, defendan juga gagal mengambil tindakan segera untuk memadamkan kandungan, menyahdayakan atau mengehadkan akses kepada hantaran yang dipertikaikan serta saluran YouTube Wan Muhammad Azri dalam tempoh munasabah selepas dimaklumkan.

MCMC mendakwa Google pada setiap masa yang berkaitan mengetahui tindakan berterusan Wan Muhammad Azri menyebarkan kandungan memudaratkan di YouTube, namun gagal, enggan atau cuai mengambil langkah sewajarnya untuk memadamkan bahan berkenaan.

Plaintif turut mendakwa kegagalan dan keengganan Google mematuhi notis tersebut menyebabkan kandungan yang dipertikaikan terus diterbitkan semula, sekali gus menjejaskan persepsi serta kredibiliti pemimpin negara selain menghakis keyakinan masyarakat.

Menurut MCMC, kandungan berkenaan bersifat palsu, mengelirukan dan tidak berasas, khususnya berkaitan tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta perkara yang melibatkan kepentingan awam.

Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan mendakwa mengalami kerugian, kerosakan atau kemudaratan susulan kegagalan Google memadamkan kandungan yang diterbitkan dan diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri di YouTube.

MCMC memohon deklarasi mahkamah bahawa Google sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan tertakluk kepada kewajipan statutori untuk mematuhi arahan suruhanjaya itu bagi mengalih keluar kandungan yang diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri serta menyahdayakan akses kepadanya.

Selain itu, MCMC turut memohon deklarasi bahawa Google telah melanggar kewajipan berjaga-jaga terhadap suruhanjaya itu dan pelanggannya di Malaysia apabila membenarkan kandungan dalam talian yang memudaratkan, termasuk bahan yang dipertikaikan dan didakwa bertentangan dengan undang-undang Malaysia, terus berada di YouTube.

Plaintif turut memohon beberapa perintah injunksi terhadap Google, antaranya supaya syarikat itu meneruskan penggantungan akaun YouTube berkenaan serta mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam untuk mengenal pasti dan memadamkan sebarang kandungan serupa yang memaparkan Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang juga dikenali sebagai Papagomo atau Sir Azri.

Arahan tersebut turut merangkumi kandungan yang dimuat naik menerusi akaun miliknya sendiri atau akaun pihak ketiga, termasuk siaran langsung di YouTube.

Dalam tuntutannya, MCMC turut memohon ganti rugi am, teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM100 juta atau apa-apa jumlah lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Suruhanjaya itu juga menuntut faedah terhadap sebarang jumlah ganti rugi yang diberikan pada kadar dan bagi tempoh yang ditentukan mahkamah, kos prosiding atas dasar indemniti serta apa-apa relif lanjut yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sumber : Metro Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *