Malaysia dan Macau Mahu Luaskan Kerjasama, Pelancongan Halal Turut Jadi Tumpuan
PUTRAJAYA – Malaysia dan Macau mahu memperkukuh hubungan dua hala serta membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, kewangan, sains dan teknologi, pendidikan serta industri konvensyen dan pameran.
Perkara itu dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Macau, Sam Hou Fai, di pejabatnya di Putrajaya.
Kunjungan itu merupakan lawatan pertama Sam ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan pada Disember 2024.
Menurut Anwar, kedudukan strategik Macau dan Hengqin yang terhubung dengan Greater Bay Area (GBA) boleh dimanfaatkan syarikat Malaysia untuk meneroka peluang perniagaan. Pada masa sama, Malaysia berpotensi menjadi pintu masuk bagi perniagaan Macau yang ingin mengembangkan operasi ke pasaran ASEAN.
Anwar turut menyambut baik pemeteraian beberapa perjanjian perniagaan antara syarikat Malaysia dan Macau pada 3 September. Beliau berharap kesepakatan itu menjadi pemacu kepada hubungan ekonomi yang lebih erat dan meluas.
Perbincangan tersebut juga menyentuh usaha memperluas hubungan antara rakyat melalui pendidikan dan pelancongan, termasuk potensi kerjasama dalam pelancongan halal dan mesra Muslim sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Malaysia, katanya, bersedia menterjemahkan hubungan yang semakin erat itu kepada kerjasama praktikal, bermakna dan saling menguntungkan, selaras dengan semangat Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China.
Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Wilayah Pentadbiran Khas Macau mencecah RM367.7 juta (AS$85.8 juta), meningkat 73.6 peratus berbanding 2024.
