Belanjawan 2027: RM8 Bilion TVET Perkasa Industri Penerbangan
KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Belanjawan 2027 dijangka membantu merancakkan perkembangan sektor penerbangan dan automotif negara.
Ketua Pegawai Insan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Amran Mohd Tomin, berkata peruntukan yang disalurkan secara bersasar menerusi pelbagai kementerian itu bertepatan dengan keperluan industri penerbangan yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
Menurutnya, inisiatif kerajaan termasuk peruntukan RM500 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan dana RM3 bilion melalui HRD Corp berpotensi memperluas latihan peningkatan kemahiran (upskilling) serta latihan semula (reskilling) bagi tenaga kerja.
Beliau berkata, peruntukan RM150 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) turut menyediakan peluang kepada golongan belia India untuk menceburi bidang penerbangan.
Amran berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam segmen Jendela Fikir di Bernama Radio bertajuk Belanjawan 2027: TVET Dari Perspektif Industri.
Beliau menyifatkan tumpuan khusus terhadap industri penerbangan sebagai langkah penting bagi memastikan latihan TVET yang disediakan memenuhi keperluan sebenar sektor berkenaan.
Menerusi MAB Academy, MAG menawarkan dua program latihan dalam bidang penyelenggaraan pesawat, iaitu Trainee Aircraft Maintenance Engineer (TAME) dan Trainee Aircraft Maintenance Technician (TAMT).
Kedua-dua program itu terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
Amran berkata, MAG turut menyediakan peluang pekerjaan kepada peserta yang berjaya memperoleh sijil kelayakan, memandangkan tenaga kerja dalam kedua-dua bidang itu amat diperlukan oleh industri penerbangan, khususnya sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Beliau menambah bahawa sijil berkenaan mempunyai pengiktirafan bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza, Mohd Rizal Jailan, berkata peruntukan TVET menerusi Belanjawan 2027 mampu memperkukuh ekosistem automotif tempatan yang terus berkembang.
Menurutnya, sektor automotif bukan sahaja bergantung pada pengeluar peralatan asal (OEM), tetapi turut memerlukan rangkaian pembekal komponen, vendor dan penyedia perkhidmatan selepas jualan yang cekap.
Beliau berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI), teknologi kenderaan dan penggunaan tenaga baharu menjadikan latihan kemahiran semakin penting bagi memastikan tenaga kerja dapat mengikuti perubahan industri.
Melalui program TVET, graduan baharu dapat menguasai kemahiran asas sebelum mengikuti latihan lanjutan di akademi khusus, memandangkan setiap jenama kenderaan menggunakan teknologi yang berbeza.
Mengulas mengenai tenaga kerja berpengalaman dan generasi baharu, Mohd Rizal berkata kedua-dua kumpulan mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh saling melengkapi.
Katanya, pekerja berpengalaman diberikan latihan peningkatan kemahiran supaya mereka dapat mengikuti perkembangan teknologi kenderaan terkini.
Pada masa sama, golongan muda mempunyai kelebihan dalam aspek pemikiran kritis dan AI, manakala pekerja lama menyumbang pengalaman serta pengetahuan praktikal yang bernilai kepada industri.
Amran dan Mohd Rizal turut menekankan kepentingan dialog berterusan antara penyedia latihan TVET dengan pihak industri bagi memastikan program kemahiran kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Mereka juga menggalakkan institusi perbankan dan kewangan memainkan peranan dalam membiayai latihan kemahiran tinggi yang memerlukan pelaburan modal besar.
Sumber : Harian Metro Online

