MyKad Palsu Berharga RM100, JPN Kesan 36 Warga Asing
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Filipina dipercayai membayar RM100 untuk mendapatkan kad pengenalan (MyKad) bagi membolehkannya bekerja di sebuah kilang percetakan kad permainan di Kawasan Perindustrian MIEL, Pasir Gudang, di sini.
Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila lelaki berusia 20 tahun berkenaan antara 36 warga asing yang dikesan disyaki menyalahgunakan kad pengenalan palsu atau milik orang lain untuk mendapatkan pekerjaan menerusi Ops Jejak 1.0 yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Sarinah Apisah, berkata operasi yang bermula pada jam 10 pagi itu dilaksanakan selepas pihaknya menjalankan risikan selama sebulan bagi mengesan kegiatan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri dalam kalangan pekerja asing.
Menurutnya, seramai 234 individu diperiksa dalam operasi bersepadu yang membabitkan 79 anggota dari seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 137 individu merupakan warganegara Malaysia, manakala 36 warga asing disyaki menggunakan kad pengenalan palsu atau milik orang lain untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, warga asing yang diperiksa terdiri daripada lapan lelaki dan 28 perempuan berusia antara 16 hingga 48 tahun yang dipercayai berasal dari Filipina dan Indonesia.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, kebanyakan mereka mendakwa dilahirkan di Labuan dan Sabah serta menetap di kawasan sempadan. Bagaimanapun, latar belakang sebenar mereka masih dalam siasatan.
“Pihak kami turut mengesan seorang lelaki Filipina yang mendakwa membeli MyKad dengan harga RM100. Dalam kad pengenalan palsu itu, dia menggunakan nama orang lain tetapi gambarnya sendiri.
“Maklumat lanjut akan diperoleh menerusi sesi soal siasat bagi mengenal pasti asal-usul individu yang disyaki, termasuk mengesahkan sama ada mereka benar-benar berasal dari Indonesia atau Filipina,” katanya.
Dalam operasi sama, Sarinah berkata, JPN turut mengesan seorang pemuda yang menggunakan MyKid untuk bekerja walaupun sudah berusia sekitar 20 tahun.
Menurutnya, pemuda itu memberikan alasan bahawa dia masih belum menukar MyKid kepada kad pengenalan kerana berdepan masalah dokumentasi.
Katanya, kes berkenaan memerlukan penelitian lanjut bagi mengesahkan status kewarganegaraan individu terbabit, termasuk melalui semakan maklumat kelahiran dan usaha mengesan saksi berkaitan.
Sarinah berkata, JPN turut mengesan dua ejen yang dipercayai membawa masuk pekerja asing berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada siasatan lanjut mengenai kemungkinan penglibatan pihak ketiga dalam kegiatan itu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 25(1)(c), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Sumber : Kosmo Online

