Kenyataan yang dikongsikan Tun Dr Mahathir menerusi Facebook miliknya

Tun Mahathir Belum Kuat Kembali Bertugas Selepas Pemergian Tun Hasmah

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakui masih belum cukup kuat untuk kembali menjalankan tugas di pejabat selepas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali.

Beliau berkata, percubaan untuk kembali ke pejabat sejak sehari dua lalu terpaksa dilakukan secara terhad berikutan keadaan kesihatannya yang masih belum mengizinkan.

“Sehari dua ini saya cuba ke pejabat tetapi upaya masih belum begitu kuat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin yang dikongsikan menerusi Facebook.

Dalam kenyataan sama, Dr Mahathir bagi pihak seluruh keluarganya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan pengebumian Allahyarham isterinya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lebih 25,000 orang dari seluruh negara telah menziarahi pusara Allahyarham Tun Dr Hasmah sejak pemergiannya lebih tiga minggu lalu sebagai tanda penghormatan terhadap jasa dan sumbangan tokoh wanita berkenaan.

Anaknya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berkata jumlah pengunjung yang direkodkan sepanjang tempoh itu merupakan satu fenomena yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Menurutnya, mereka yang hadir bukan sahaja datang dari pelbagai negeri di Malaysia, malah ada yang sanggup berkunjung dari Palembang, Indonesia, walaupun tidak pernah mengenali Allahyarham secara peribadi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau terharu dengan doa yang terus mengiringi Allahyarham isterinya sehingga kini, sama ada daripada mereka yang menziarahi pusara mahupun individu yang mendoakannya dari tempat masing-masing.

Sumber : Sinar Harian Online

Beliau turut memohon maaf sekiranya sepanjang tempoh berkenaan terdapat salam yang tidak sempat disambut, lambaian yang tidak berbalas atau ucapan takziah yang masih belum dapat dijawab.

Katanya, doa dan sokongan yang diterima menjadi peringatan untuk terus bersyukur kepada ALLAH SWT meskipun sedang menanggung kesedihan akibat kehilangan insan tersayang.

“Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada ALLAH SWT kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *