Gambar Hiasan

Rafizi Didakwa Bangkit Isu Mafia Korporat Alih Perhatian Kes Nik Nazmi – Impak Madani

KUALA LUMPUR – Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli didakwa sengaja membangkitkan isu mafia korporat bagi mengalihkan perhatian daripada kontroversi kes tuduhan khalwat yang dikaitkan dengan sekutunya, Nik Nazmi Nik Ahmad, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Penasihat Pertubuhan Kebajikan Impak Madani (Impak Madani), John Ooh Sin Hwa, berkata tindakan sedemikian sinonim dengan Rafizi dan dipercayai bertujuan mengelakkan Bersama daripada mengalami kekalahan besar pada PRN berkenaan.

“Nampak macam ada taktik politik di sebalik tindakan Rafizi itu kerana hanya beberapa hari selepas kontroversi kes khalwat yang dikaitkan dengan Nik Nazmi, Rafizi pula tampil membangkitkan isu mafia korporat.

“Saya berpendapat, beliau membangkitkan isu mafia korporat bagi mengalihkan perhatian dengan harapan pengundi Melaka tidak tumpu pada kes khalwat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Parti Bersama mengumumkan keputusan merehatkan Nik Nazmi daripada menyertai semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan, berkuat kuasa dari 20 Oktober hingga 19 Januari 2027.

Presiden Bersama, Syukri Razab, berkata pihaknya berpandangan bahawa keputusan itu perlu dan munasabah.

Nik Nazmi sebelum ini mengesahkan bahawa dirinya merupakan salah seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam insiden tangkap khalwat di Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, John Ooh berkata tindakan Rafizi itu tidak akan berjaya kerana terlalu banyak maklumat mengenai kes berkenaan tersebar di media sosial ketika ini.

“Buatlah apa pun, pengundi telah nampak isu moral dalam Bersama dan pengundi lazimnya tidak akan memberikan kemenangan kepada pemimpin yang terpalit dengan masalah moral,” katanya.

Sumber : Sinar Harian Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *