Ibu Allahyarham Damiya menabur bunga di pusara anaknya.

Maut Di Sekolah: Saluran Pernafasan Anak Dipercayai Tersumbat Akibat Makanan

SEPANG – Saluran pernafasan Damiya Nur Mikayla, tujuh tahun, dipercayai tersumbat akibat makanan, sama ada pisang atau ayam, namun punca sebenar masih belum dapat dipastikan.

Perkara itu dimaklumkan doktor kepada bapa mangsa, Mior Shahrizal Mior Zakaria, 48, selepas anak perempuannya meninggal dunia susulan kejadian sesak nafas di sebuah sekolah di sini pada Isnin.

Mior Shahrizal berkata, beliau bergegas ke sekolah selepas menerima makluman bahawa anaknya mengalami masalah pernafasan.

Setibanya di sekolah, beliau mendapati anaknya terbaring di koridor tingkat dua dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, beliau cuba memberikan bantuan termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun anaknya tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

“Lebih kurang 15 minit kemudian, ambulans tiba. Ketika itu, keadaan anak saya sudah tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” katanya pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang murid perempuan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di sebuah sekolah di daerah ini sebelum disahkan meninggal dunia di hospital pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.30 malam, Isnin.

Beliau berkata, mangsa diberikan bantuan awal pernafasan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika berada di hospital berkenaan.

Mior Shahrizal berkata, beliau berhenti kerja pada awal Januari lalu bagi memberikan tumpuan kepada urusan persekolahan anaknya, termasuk menghantar dan mengambilnya setiap hari.

Katanya, anak perempuannya menghadiri sekolah agama pada sesi pagi sebelum meneruskan persekolahan kebangsaan pada sebelah petang.

Menurutnya, Damiya yang disifatkan sebagai seorang kanak-kanak aktif turut menunjukkan perubahan tingkah laku sehari sebelum kejadian.

“Biasanya, apabila balik sekolah agama, dia agak liat apabila disuruh mandi. Namun, semalam apabila saya suruh mandi, dia terus bangun dan melakukannya sendiri.

“Dia juga memakai pakaian sekolah dan tudung sendiri tanpa meminta bantuan saya seperti kebiasaannya,” katanya.

Tambahnya, anak perempuannya itu sangat rapat dengannya dan sering berkongsi cerita serta mengadu apabila berdepan sebarang masalah.

Mior Shahrizal berkata, beliau menerima ketentuan itu dengan hati yang reda meskipun kehilangan anak yang amat disayanginya.

Sumber : Sinar Harian Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *