KPKT Teliti Penambahbaikan Undang-Undang Tangani Isu Kenderaan Terbiar
KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti keperluan untuk menambah baik peruntukan undang-undang sedia ada bagi menangani masalah kenderaan terbiar.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata usaha yang dilaksanakan bersama Kementerian Pengangkutan (MoT) itu bertujuan memperjelas bidang kuasa serta mempercepatkan proses penguatkuasaan dan pelupusan, tanpa mengabaikan hak pemilik kenderaan.
Menurutnya, pendekatan berkenaan bertujuan mengubah kaedah pengurusan kenderaan terbiar yang sebelum ini lebih tertumpu kepada penguatkuasaan kepada penyelesaian secara menyeluruh dengan mengambil kira kuasa perundangan, perlindungan hak rakyat dan tanggungjawab sosial pemilik.
“KPKT dengan kerjasama MoT juga sedang menambah baik pendekatan yang dilaksanakan melalui penggunaan pelbagai instrumen perundangan yang boleh dipertimbangkan.
“Ini termasuk Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta memperkenalkan kaedah pelupusan kenderaan secara sukarela yang lebih sistematik bagi menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan usang secara sah.
“KPKT juga sedang menambah baik Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Terbiar di Kawasan Operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diperkenalkan pada 2020.
“Ini bertujuan memperkemas tatacara pengesanan, pengalihan, penyimpanan dan pelupusan kenderaan terbiar berdasarkan kuasa sedia ada di bawah undang-undang berkaitan, termasuk Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi portal Parlimen hari ini.
Kor Ming menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung perancangan KPKT untuk menggubal atau meminda undang-undang sedia ada bagi menangani masalah kenderaan terbiar di seluruh negara.
Beliau berkata, garis panduan yang dikemas kini itu dijangka dilaksanakan oleh PBT di Semenanjung Malaysia sebelum penghujung tahun ini.
Sementara itu, kaedah pelaksanaannya di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan bersama pihak berkuasa berkaitan berdasarkan kerangka undang-undang yang terpakai di kedua-dua negeri berkenaan.
“Kerajaan menegaskan pendekatan dalam isu pengurusan kenderaan terbiar bukan sekadar mengeluarkan garis panduan, tetapi membabitkan rangka tindakan menyeluruh berpaksikan tadbir urus baik, bukti lapangan, penyelarasan antara agensi serta penambahbaikan proses kerja praktikal untuk dilaksanakan PBT.
“Kerajaan yakin dengan sokongan semua pihak, termasuk MoT dan Polis Diraja Malaysia, isu kenderaan terbiar dapat ditangani dengan lebih berkesan dan holistik,” katanya.
Sumber : Metro Online

