Pelajar Bawa Objek Tajam Tanpa Kebenaran, Guru Cedera Ketika Cuba Merampas
KUCHING – Seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa di sini mengalami kecederaan ketika cuba mengambil objek tajam yang dibawa tanpa kebenaran oleh seorang pelajar sekolah menengah dalam kejadian pada Rabu.
Menurut makluman pihak sekolah hari ini, kejadian itu berlaku di kawasan TK4 pada pagi Rabu.
Guru berkenaan kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas pihak sekolah menghubungi perkhidmatan ambulans.
Susulan insiden tersebut, pelajar berusia 16 tahun itu segera dikawal sebelum dibawa ke pejabat Pengetua. Pelajar berkenaan kekal di bawah pengawasan sementara menunggu tindakan selanjutnya.
Polis yang tiba di sekolah kemudian mengambil alih pengendalian kes, manakala ibu bapa pelajar terbabit turut dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Pihak sekolah memaklumkan bahawa tiada kecederaan lain dilaporkan setakat ini.
Pemeriksaan terhadap beg pelajar berkenaan turut menemukan satu barangan yang memerlukan pemeriksaan lanjut. Perkara itu kini berada dalam pengendalian pihak berkuasa.
Sebagai langkah keselamatan dan atas nasihat polis, pihak sekolah mengarahkan sekolah ditutup bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Ibu bapa juga dimaklumkan supaya mengambil anak masing-masing lebih awal.
Pihak sekolah turut meminta ibu bapa yang tidak dapat mengambil anak mereka dengan segera supaya menghubungi pihak sekolah bagi mengatur urusan selanjutnya.
Sumber : Sinar Harian Online

