Gambar Tangkapan Layar Dari Berita

Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh Dipenjara Lapan Bulan Kerana Rasuah

KUANTAN – Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas didapati bersalah atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 bagi tempoh 2019 hingga 2023.

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Mohd Azhar Mohd Yusoff, 56, melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.

Sazlina berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

Pada Jun lalu, Mohd Azhar diperintahkan membela diri terhadap semua pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Mahkamah turut mendapati kesemua 46 pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh adalah teratur dan sah, selain tidak bercanggah dengan Seksyen 164 Kanun Tatacara Jenayah atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie selepas menilai secara maksimum keseluruhan kes pendakwaan, termasuk keterangan daripada 20 saksi pendakwaan.

Mohd Azhar yang didakwa di mahkamah berkenaan pada 7 September 2023 mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan menerima rasuah tanpa balasan itu.

Wang berkenaan didakwa diterima melalui transaksi pemindahan wang dalam talian, dengan jumlah bagi setiap penerimaan antara RM100 hingga RM5,600 daripada empat individu.

Penerimaan wang itu didakwa sebagai dorongan untuk melindungi individu terbabit daripada dikenakan tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Bob Arumugam dan M Athimulan, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Abd Razak dan Dr Ifa Sirrhu Shamsuddin.

Dalam hujah rayuan hukuman terhadap anak guamnya, M Athimulan memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk mengenakan hukuman berbentuk denda sebagai ganti hukuman penjara.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman yang lebih berat, termasuk penjara dan denda maksimum.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara terhadap Mohd Azhar sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sumber : Sinar Harian Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *