Mahasiswa Perlu Jadi Suara Kebijaksanaan, Bukan Gema Kebencian – Sultan Pahang
PEKAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa mahasiswa sewajarnya menjadi suara kebijaksanaan dan bukannya menyebarkan kebencian.
Baginda bertitah, kebebasan bersuara tidak seharusnya menyebabkan seseorang melupakan batas kesopanan, kesusilaan dan tanggungjawab.
“Lebih mendukacitakan apabila ada segelintir anak muda yang mudah terpengaruh dengan budaya kebencian dan penghinaan terhadap agama serta institusi, seolah-olah keberanian itu diukur melalui kelantangan mencaci dan memperlekehkan orang lain.
“Beranilah menegur tetapi beradab ketika berbicara, beranilah berbeza pandangan tetapi jangan hilang pertimbangan,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Pemasyuran Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini, hari ini.
Baginda turut mengingatkan mahasiswa supaya tidak mengabaikan pembentukan sahsiah dan kemuliaan budi.
Menurut baginda, ilmu tanpa adab ibarat pelita tanpa cahaya kerana seseorang mungkin memiliki ilmu yang tinggi, namun pertimbangannya tetap gelap.
“Saya mahu institusi ini melahirkan bukan sekadar jurutera dan ahli teknologi yang bijaksana tetapi insan yang amanah, berintegriti dan berjiwa rakyat.
“Saya juga memandang serius gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda termasuk penyalahgunaan dadah, budaya buli, perjudian digital serta pergaulan bebas,” titah baginda.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan mahasiswa bahawa dunia kini berdepan gelombang perubahan yang sangat pantas.
Baginda menegaskan bahawa kemajuan teknologi dan media sosial membuka ruang kepada pengetahuan, namun turut membawa ancaman seperti fitnah, keruntuhan nilai dan kecelaruan pemikiran.
“Janganlah kerana mengejar populariti di alam maya, hilang pertimbangan di alam nyata,” titah baginda.
Sumber : Kosmo Online

