Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyampaikan ucaptama pada Bali Tech Week 2026 di Pusat Konvensyen Bali Beach Sanur (BBCC) hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia, Indonesia Sepakat Perluas Kerjasama Keselamatan Dalam Talian Kanak-Kanak

BALI – Malaysia dan Indonesia bersetuju memperkukuh kerjasama antara agensi di peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan dalam talian kanak-kanak, dengan Singapura turut dicadang menyertai usaha berkenaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata isu keselamatan dalam talian, khususnya membabitkan kanak-kanak, memerlukan perhatian dan tindakan bersama negara-negara di rantau ini.

“Kita berusaha mengadakan pertemuan tiga pihak melibatkan Malaysia, Indonesia dan Singapura, insya-Allah pada Disember ini sekiranya kelapangan waktu mengizinkan,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia Meutya Hafid, di sini hari ini.

Fahmi berkata meskipun negara-negara ASEAN mempunyai undang-undang dan pendekatan pelaksanaan yang berbeza, kerjasama yang dimulakan Malaysia, Indonesia dan Singapura berpotensi membuka ruang kepada penyertaan negara lain di rantau ini.

“Kita bukan sekadar mempunyai dasar yang seiring, tetapi juga mungkin beberapa mekanisme yang hampir serupa, walaupun tidak semestinya sama sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut menyambut baik hasrat Meutya untuk memperkukuh kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia.

Fahmi berkata pengalaman MCMC dalam mengendalikan aduan orang ramai berkaitan media sosial juga boleh dimanfaatkan pihak berkuasa Indonesia.

“Dengan itu, kita dapat berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam menangani isu berkaitan keselamatan dalam talian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura, Josephine Teo berkata beliau sempat bertukar pandangan dengan Fahmi mengenai perkembangan sektor telekomunikasi kedua-dua negara ketika mereka bertemu secara kebetulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, semalam.

Pertemuan itu berlaku ketika Fahmi tiba di Bali bagi memenuhi undangan menyampaikan ucaptama pada Bali Tech Week 2026, manakala Teo sedang menunggu penerbangan pulang ke Singapura selepas menghadiri program berkenaan.

Dalam hantaran di media sosial rasminya, Teo berkata perbincangan turut menyentuh isu komunikasi selamat kuantum (quantum safe communications) serta keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak dan golongan muda.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk menerima kunjungan Fahmi ke Singapura dalam masa terdekat.

Sumber: Bernama

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *