Gambar Hiasan

MCMC Siasat Kandungan Facebook Disyaki Hina Institusi Diraja Negeri Sembilan

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat satu kandungan di Facebook yang disyaki mempunyai unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.

Menurut MCMC, hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook ‘Che GuBard’ itu menyentuh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta kerabat diraja negeri berkenaan.

MCMC memaklumkan bahawa individu yang dipercayai mengendalikan akaun tersebut hadir ke Balai Polis Cyberjaya hari ini bagi membantu siasatan.

“Rakaman percakapan telah dijalankan bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Seunit telefon bimbit berserta satu kad SIM turut disita bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian yang berpotensi mencetuskan kebencian, penghinaan atau rasa tidak hormat terhadap institusi diraja.

Menurutnya, kebebasan bersuara perlu diamalkan secara bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang negara.

“Sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan dan proses perundangan yang berkuat kuasa,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *