Lelaki Malaysia Mengaku Dibayar 10 Baht Bagi Setiap Pod ‘Rokok Zombie’
HAT YAI (THAILAND) – Seorang lelaki warga Malaysia dan seorang warga tempatan ditahan pihak berkuasa Thailand selepas disyaki terlibat dalam sindiket penghasilan ‘Pod K’ atau ‘rokok zombie’ yang mengandungi bahan anestetik dalam satu serbuan di sini, semalam.
Lelaki Malaysia berusia 51 tahun itu ditahan dalam operasi polis di sebuah rumah di Soi 4, Jalan Suphasan Rangsan, kira-kira pukul 10.30 malam.
Ketua Bahagian Perlindungan Pengguna Polis Hat Yai, Leftenan Kolonel Anan Buakaew berkata, operasi bersama Polis Peronda Sempadan 437 dijalankan di dua lokasi selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran ‘rokok zombie’ di sekitar bandar berkenaan.
Menurutnya, sepasukan anggota polis yang diketuai Timbalan Komander Unit Polis Peronda Sempadan 437, Leftenan Kolonel Suthep Chukaew menahan dan memeriksa sebuah kereta di Jalan Ratthanakarn, berhampiran Plaza Fresh Market di pusat bandar Hat Yai.
“Pemeriksaan menemukan kartrij rokok elektronik pakai buang yang mengandungi ethomedate, sejenis anestetik perubatan yang dicampur secara haram ke dalam cecair rokok elektronik untuk menghasilkan ‘rokok zombie’.
“Rokok itu ditemukan dalam empat beg plastik yang setiap satu mengandungi 100 pod. Lelaki terbabit sedang menunggu untuk menyerahkan rokok berkenaan kepada pelanggannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Anan berkata, hasil soal siasat terhadap lelaki itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Jalan Suphasan Rangsan sebelum lelaki Malaysia berkenaan ditahan.
Pemeriksaan di sebuah bilik di rumah itu turut menemukan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan ‘rokok zombie’, termasuk lebih 180 pod pakai buang tanpa cecair, enam botol pekatan cecair dan empat telefon bimbit.
“Ketika disoal siasat, suspek mengaku dia mempunyai rakan subahat yang juga rakyat Malaysia yang membekalkan dadah, bahan kimia dan semua peralatan yang digunakan untuk menghasilkan rokok itu.
“Dia juga mengaku menyuntik cecair rokok elektronik ke dalam pod dan mendakwa dibayar 10 baht (RM1.21) bagi setiap pod,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online

