Gambar Hiasan

UJSB Catat Kerugian Terkumpul RM13.20 Bilion Pada Akhir 2025

KUALA LUMPUR – Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) merekodkan kerugian terkumpul sebanyak RM13.20 bilion pada akhir 2025, terutamanya disebabkan oleh rosot nilai aset dan kos keuntungan sukuk yang ditanggung syarikat itu.

Kementerian Kewangan berkata, UJSB ialah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan bagi membantu memulihkan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH) menerusi pengambilalihan dan pemulihan aset yang tidak berdaya saing.

Pada 2018, UJSB mengambil alih aset LTH bernilai RM9.7 bilion pada harga RM19.9 bilion.

Perbezaan sebanyak RM10.2 bilion merupakan premium yang diberikan kepada LTH bagi membantu pemulihan kewangannya, namun jumlah itu menjadi beban kerugian kepada UJSB melalui rosot nilai aset.

“Selain itu, kos keuntungan sukuk yang terakru kepada LTH turut menyumbang kepada kerugian terkumpul UJSB. Dengan kata lain, kos sukuk yang ditanggung UJSB adalah pendapatan keuntungan terakru kepada LTH.

“Kedua-dua komponen ini adalah penyumbang utama kepada kerugian terkumpul UJSB sebanyak RM13.20 bilion pada akhir 2025,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung nilai aset bersih, jumlah liabiliti dan kerugian terkumpul UJSB berdasarkan penyata kewangan terkini.

Soalan itu turut menyentuh nilai semasa aset yang dipindahkan daripada Tabung Haji serta keupayaan UJSB memenuhi obligasi sukuk tanpa sokongan kewangan tambahan daripada kerajaan.

Menurut kementerian, kerugian terkumpul itu perlu dibezakan daripada prestasi operasi UJSB. Syarikat berkenaan dilaporkan konsisten mencatatkan keuntungan operasi sejak 2019, termasuk sebanyak RM297 juta bagi tahun kewangan 2025.

Nilai aset di bawah pengurusan UJSB juga meningkat daripada RM9.7 bilion pada 2018 kepada RM11.61 bilion pada akhir 2025.

“Usaha pemulihan turut membolehkan syarikat perladangan yang kembali menjana keuntungan diserahkan semula kepada LTH pada harga lebih rendah daripada harga pengambilalihan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion kepada UJSB bagi tujuan penebusan awal sukuk pada tahun depan, sekali gus memperkukuh aliran tunai LTH.

Kementerian itu turut menyatakan komitmen untuk menyediakan peruntukan bagi penebusan awal sukuk, tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.

“Sebelum ini, peruntukan tidak dapat disediakan seperti dirancang kerana Kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan bagi menangani pandemik COVID-19.

“Komitmen ini diteruskan bagi menyokong UJSB memenuhi obligasinya kepada LTH, di samping memulihkan aset secara berhemat,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *