Sumber dari Sinar Harian

Kampung Merapoh Muncul Juara Sulung Anugerah Kampung Tradisi Pahang

KUANTAN – Kampung Merapoh, Lipis mencipta sejarah apabila dipilih sebagai penerima sulung Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st bersempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, anugerah yang diperkenalkan buat julung kali itu bertujuan mengiktiraf kampung yang berjaya menyediakan persekitaran kehidupan yang baik untuk penduduknya.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan turut bertujuan melahirkan masyarakat kampung yang berusaha, progresif dan dinamik dalam memajukan kawasan masing-masing dalam pelbagai bidang.

“Bagi menjayakan inisiatif ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 untuk hadiah kemenangannya.

“Melihat kepada sambutan cukup baik pada penganjuran sulung ini, kerajaan negeri menaikkan peruntukan untuk tahun depan kepada RM300,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Pahang di sini pada Khamis.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Saidin Lateh dan Pengarah PLANMalaysia Pahang, Datuk Nik Noraisu Nik Ibrahim.

Sebanyak 60 daripada keseluruhan 1,933 kampung tradisi di Pahang menyertai Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st.

Kampung Merapoh membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi iringan dan sijil, manakala Kampung Bolok Hilir, Temerloh yang menduduki tempat kedua menerima wang tunai RM50,000, trofi iringan dan sijil.

Tempat ketiga pula menjadi milik Kampung Bukit Kelulut, Temerloh yang menerima wang tunai RM25,000 berserta trofi iringan dan sijil.

Wan Rosdy berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha kerajaan negeri memastikan agenda kesejahteraan merangkumi seluruh Pahang, termasuk kawasan kampung yang menjadi sebahagian daripada warisan dan identiti masyarakat negeri berkenaan.

“Pahang memberikan pengiktirafan kepada kampung tradisi yang berjaya mewujudkan persekitaran kehidupan yang baik untuk penduduknya.

“Kita juga bercadang memperkenalkan Anugerah Kampung Bahagia sebagai antara kategori pada Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st akan datang,” katanya.

Beliau menjelaskan, usaha itu diharap dapat menggalakkan penduduk kampung berganding bahu menjaga kebersihan, menceriakan persekitaran, mengeratkan hubungan kejiranan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti masing-masing.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, tema sambutan HPBS tahun ini, “Bandar Kita, Masa Depan Kita: Bersama Melakar Malaysia Makmur, Berdaya Tahan dan Sejahtera”, membawa mesej jelas yang selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara terancang.

Katanya, kerajaan negeri turut bersedia merancang peluasan rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) pada masa hadapan.

“Itu perancangan dan kita telah memohon mengenai perkara ini untuk masa depan. Saya tak mahu berlaku bila diminta baru kita bagi cadangan. Mereka tidak minta lagi, kita sudah bagi cadangan ini,” katanya.

Beliau berkata, cadangan tersebut bertujuan mewujudkan pembangunan rangkaian mobiliti penduduk.

“Kita usahalah. Ini menunjukkan bahawa kita ada perancangan sesuai dengan sambutan HPBS kali ini,” ujarnya.

Sumber : Sinar Harian Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *