Gambar dari Kosmo Online

Kapal Persiaran Odyssey Henti Operasi Di Kemboja, Ratusan Penumpang Terjejas

PHNOM PENH – Kira-kira 200 penumpang yang membayar untuk menetap di atas sebuah kapal persiaran sambil mengelilingi dunia secara mengejut ditinggalkan di sebuah pelabuhan di Kemboja selepas syarikat pengendalinya berdepan kekurangan dana, menurut seorang pegawai semalam.

Pengendali kapal persiaran yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Villa Vie Residences, mengumumkan kelmarin bahawa pihaknya menggantung operasi di Kemboja sementara berusaha menangani peningkatan luar biasa kos bahan api susulan perang Iran.

Kapal Odyssey sepanjang 200 meter itu memulakan pelayaran dari Ireland Utara pada Oktober 2024 bagi perjalanan berterusan mengelilingi dunia, dengan penumpang boleh membeli atau menyewa kabin untuk tujuan percutian atau didiami sepanjang hayat.

Malah, sesetengah penumpang menjual semua harta benda mereka kerana mahu menjalani kehidupan persaraan sambil belayar.

Bagaimanapun, mereka hanya diberikan tempoh tujuh jam untuk mengemas barang dan meninggalkan kapal ketika ia singgah di pelabuhan Sihanoukville, Kemboja, menurut Timbalan Gabenor wilayah Preah Sihanouk, Long Dimanche.

Beliau berkata seramai 203 penumpang bersama 156 anak kapal tiba di pelabuhan berkenaan selepas belayar dari Thailand pada 23 Oktober lalu. Kapal itu pada asalnya dijadualkan meneruskan perjalanan ke Vietnam.

“Arahan secara tiba-tiba untuk turun dari kapal menyebabkan ramai pesara dan pekerja jarak jauh hilang tempat tinggal beribu-ribu kilometer dari negara asal mereka.

“Sesetengah penumpang mengambil penerbangan keluar sementara yang lain kekal di bandar Sihanoukville,” katanya sambil menambah bahawa Odyssey dijadualkan mengisi bahan api dan belayar semula pada Jumaat ini.

Randy Cassingham, seorang penumpang kapal itu yang mengendalikan blog berkaitan pelayaran, menulis bahawa arahan meninggalkan kapal berkenaan berlaku susulan beberapa masalah yang berlarutan.

Menerusi hantaran bertajuk Abandon Ship! yang bermaksud ‘Tinggalkan Kapal!’, beliau berkata pelancaran pelayaran Odyssey di Belfast pernah ditangguhkan selama empat bulan.

Kapal itu juga tidak pernah mencapai kapasiti maksimum seramai 650 penghuni, sebaliknya hanya mencatatkan jumlah tertinggi kira-kira 350 orang.

Menurutnya, Odyssey bukanlah kapal persiaran mewah, namun pengalaman yang ditawarkan masih berbaloi sehinggalah syarikat itu mula meminta wang daripada penumpang.

Sementara itu, Villa Vie dalam kenyataannya memaklumkan bahawa perbelanjaan bahan api bulanan bagi setiap kabin meningkat daripada purata AS$1,800 (RM7,323) kepada antara AS$6,000 (RM24,412) hingga AS$8,000 (RM32,550) di beberapa kawasan di Asia.

“Syarikat tidak boleh memindahkan peningkatan kos sedemikian kepada penumpang dengan begitu sahaja. Kenaikan ini menyebabkan model operasi semasanya berada di bawah tekanan kewangan dan sukar untuk bertahan,” menurut Villa Vie.

Cassingham turut menuduh syarikat itu langsung tidak melakukan apa-apa untuk membantu penumpang yang terkandas.

Sebaliknya, Villa Vie berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan penghuni bagi menyelaraskan urusan turun dari kapal serta mengenal pasti penempatan kediaman sementara untuk mereka.

Sumber : Kosmo Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *