Gambar Kosmo Online

Remaja 14 Tahun Ditahan Baling Batu Hingga Cermin Tren Komuter Pecah

ARAU – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas disyaki membaling batu sehingga menyebabkan cermin tingkap tren Komuter Utara pecah, sekali gus mencederakan seorang penumpang wanita berhampiran jejantas Jelompok, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, remaja itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Arau bersama Task Force Balai Polis Arau menerusi Op Cantas di sebuah rumah sekitar Arau, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku sengaja melontarkan seketul batu ke arah cermin tren KTM ketika melalui kawasan jejantas motosikal Kampung Jelompok kira-kira pukul 6 petang, Khamis lalu.

Keadaan cermin yang dibaling batu

“Ketika kejadian, suspek bersama empat rakannya sedang berkumpul di kawasan jejantas berkenaan sebelum dia bertindak membaling batu ke arah tren yang sedang bergerak,” katanya hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati empat rakan suspek tidak mempunyai kaitan dengan perbuatan itu dan hanya menyaksikan tindakan remaja berkenaan.

Polis turut merampas seketul batu yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan serta sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y05 bersama kad SIM bagi membantu siasatan.

Semakan mendapati suspek yang masih bersekolah itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, remaja terbabit ditahan di lokap Balai Polis Kangar untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat.

Suspek dijangka dibebaskan dengan jaminan polis petang ini.

Sumber : Kosmo Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *