Gambar Online Presiden Perancis

Presiden Perancis Emmanuel Macron Dijangka Lawat Malaysia 16 Dan 17 November Ini

KUALA LUMPUR – Presiden Perancis, Emmanuel Macron dijangka mengadakan lawatan ke Malaysia pada 16 dan 17 November ini, menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata hubungan Malaysia dan Perancis kini berada pada tahap baharu susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu tahun lalu yang turut menyaksikan hubungan akrab terjalin antara Anwar dan Macron.

“Datuk Seri Anwar melawat Perancis tahun lepas dan seterusnya menjemput Presiden Macron untuk melawat Malaysia. Macron menerima jemputan itu dalam tempoh yang singkat dan lawatan berkenaan akan berlangsung pada 16 dan 17 Nov ini, mencerminkan hubungan yang semakin erat serta pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Malam Gala Malaysia-Perancis 2026 anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Perancis (CCIFM) di sini, semalam.

Menurut Sim, Malaysia menantikan kunjungan Macron yang dijangka membuka lebih banyak peluang untuk memperkukuh hubungan antara syarikat dari kedua-dua negara.

Katanya, hubungan dua hala Malaysia dan Perancis juga mempunyai potensi untuk terus berkembang dalam jangka masa panjang.

“Malaysia mempunyai sejarah hubungan yang panjang dengan Perancis. Pada 1700-an, Sultan Terengganu menjemput pedagang dan pelaut Perancis datang ke Malaysia untuk berdagang.

“Hari ini, kira-kira 600 syarikat Perancis beroperasi di Malaysia, termasuk jenama terkenal seperti L’Oréal, Decathlon, Michelin, TotalEnergies dan BNP Paribas,” katanya.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan, Sim memaklumkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) kini berada pada peringkat lanjutan.

“Kami baru sahaja menyelesaikan satu rundingan di Brussels pada September lepas.

“Perbincangan masih diteruskan. Baru-baru ini, saya menerima kunjungan delegasi anggota Parlimen Eropah dan kami mengadakan perbincangan lanjut. Ini merupakan tempoh yang amat memberangsangkan bagi Malaysia dan Kesatuan Eropah, khususnya Perancis. Saya fikir usaha ini berada pada landasan dan hala tuju yang betul,” katanya.

Pada 13 Oktober lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia menyasarkan untuk memeterai MEUFTA menjelang penghujung Jun 2027, dengan hampir 80 peratus rundingan telah diselesaikan.

Dalam perkembangan sama, Duta Perancis ke Malaysia, Marc Abensour berkata lawatan Macron ke Kuala Lumpur pada 16 dan 17 November ini merupakan peluang penting untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada tahap perkongsian strategik.

“Lawatan pertama Presiden Perancis ke Malaysia dalam tempoh hampir sedekad ini akan membolehkan kita membawa hubungan ke tahap seterusnya dan meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik, sekali gus menyelaraskan kedudukan Malaysia dengan komitmen utama kami di rantau ini bersama-sama Indonesia, Singapura dan Vietnam.

“Teras hubungan ini ialah perkongsian bagi menjamin kedaulatan. Dalam era perdagangan, tenaga dan teknologi semakin digunakan sebagai senjata, keselamatan ekonomi menjadi keutamaan. Kita perlu memastikan rantaian nilai kritikal terjamin bagi memperkukuh daya tahan bersama,” katanya.

Abensour berkata Malaysia dan Perancis turut memperkukuh kerjasama sedia ada yang telah lama terjalin dalam sektor pertahanan, aeroangkasa, peralihan tenaga, mineral kritikal dan infrastruktur digital.

Kerjasama itu termasuk dalam bidang kabel dasar laut, pusat data serta semikonduktor.

“Hubungan ekonomi kita tidak pernah seerat ini. Perancis kini merupakan pelabur Eropah kedua terbesar di Malaysia, dengan nilai pelaburan negara itu meningkat 190 peratus dalam tempoh sedekad lepas,” katanya.

Bersempena ulang tahun ke-35 penubuhannya, CCIFM terus komited membantu syarikat Perancis menubuhkan serta mengembangkan operasi di Malaysia, selain memanfaatkan kedudukan negara ini sebagai pintu masuk strategik ke Asia Tenggara.

Ditubuhkan pada 1991, CCIFM berkembang menjadi platform perniagaan penting yang menghubungkan syarikat Perancis dan Malaysia, menyokong kemasukan ke pasaran, memudah cara pelaburan serta memperkukuh kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Ketika ini, lebih 600 syarikat Perancis beroperasi di Malaysia dengan menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan, selain menyumbang kepada pembangunan industri, teknologi dan ekonomi negara.

Syarikat Perancis terus memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi Malaysia merangkumi pelbagai sektor, termasuk aeroangkasa, tenaga, pembuatan termaju, teknologi digital, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan profesional.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Perancis mencatatkan nilai RM22.5 bilion pada 2025.

Sumber : Metro Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *