Wanita Malaysia Ditahan di Hong Kong, 8kg Ganja Bernilai RM830,000 Dirampas
HONG KONG: Seorang wanita warga Malaysia berusia 33 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas pihak kastam menemukan kira-kira lapan kilogram (kg) putik ganja dalam bagasi daftar masuk miliknya.
Rampasan dadah itu dianggarkan bernilai HK$1.6 juta, bersamaan kira-kira RM830,000.
Menurut Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong, wanita berkenaan tiba dari Bangkok, Thailand pada 12 September lalu sebelum pemeriksaan terhadap bagasinya membawa kepada penemuan bahan disyaki ganja tersebut.
Suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan. Kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Kastam Hong Kong mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah menerima tawaran wang untuk membawa barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungannya, khususnya barangan yang tertakluk kepada kawalan undang-undang.
Individu yang disabitkan kesalahan mengedar dadah berbahaya di Hong Kong boleh dikenakan denda maksimum HK$5 juta dan hukuman penjara seumur hidup.
Kes berkenaan turut menyusuli beberapa tangkapan melibatkan rakyat Malaysia yang disyaki membawa masuk ganja ke Hong Kong sejak Julai lalu.
Pada 30 Julai, seorang lelaki Malaysia berusia 27 tahun ditahan selepas kira-kira 3kg ganja ditemukan dalam bagasinya. Dua lagi lelaki Malaysia, masing-masing berusia 19 tahun, turut ditahan dalam kes berasingan pada Julai selepas dadah seberat kira-kira 11kg dan 3kg ditemukan dalam bagasi mereka.
