Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah

213 Rakyat Malaysia Ditahan, Sindiket Guna Pelbagai Taktik Perdaya Mangsa

KUALA LUMPUR – Seramai 213 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki menjadi keldai dadah bagi tempoh 2024 hingga September lalu, susulan taktik sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan golongan muda.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sindiket terbabit memperdaya golongan muda termasuk pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan menawarkan pekerjaan bergaji lumayan, pakej percutian, tiket penerbangan, penginapan serta imbuhan kewangan.

Menurutnya, tawaran berkenaan sebenarnya mempunyai risiko keselamatan yang serius kerana individu yang terpedaya akan dipergunakan untuk membawa dadah merentasi sempadan negara.

“Sindiket turut menggunakan media sosial, platform e-dagang dan aplikasi komunikasi untuk mempromosikan kegiatan, mendapatkan pelanggan serta menjalankan urus niaga jual beli dadah.

“Antara modus operandi dikenal pasti termasuk penggunaan akaun palsu, kumpulan tertutup, komunikasi sementara, pembayaran tanpa tunai dan e-dompet, selain penghantaran melalui perkhidmatan kurier menggunakan kaedah bayaran tunai ketika pesanan dihantar (COD) dan lokasi serahan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung langkah kerajaan menangani sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan golongan muda dan graduan universiti dengan tawaran imbuhan lumayan bagi menarik mereka menjadi keldai dadah.

Takiyuddin turut meminta penjelasan mengenai modus operandi terbaharu sindiket yang menyalahgunakan platform e-dagang dan pasaran dalam talian untuk penjualan dadah.

Mengulas mengenai tindakan penguatkuasaan, Shamsul Anuar berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan risikan dan penguatkuasaan siber secara berterusan.

Katanya, usaha itu melibatkan pemantauan serta siasatan selama 24 jam sehari dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyedia platform digital dan syarikat kurier.

“Hasilnya, 87 akaun disekat pada 2025, manakala 49 akaun lagi disekat sepanjang tahun ini.

“Kerajaan memfokuskan usaha melumpuhkan keseluruhan rangkaian dan keupayaan kewangan sindiket dengan kerjasama institusi kewangan, penyedia platform dan syarikat kurier bagi mengesan serta menyekat aliran pembayaran dan penghantaran, selain melaksanakan pendekatan follow the money.

“Kerajaan juga memperkukuh usaha pencegahan melalui pendidikan, kesedaran dan mobilisasi komuniti, khususnya dalam kalangan golongan muda bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan tawaran sindiket,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *