Gelombang Biru Terus Lingkungi Melaka, Zahid Yakin BN Kembali Memerintah
ALOR GAJAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin sokongan terhadap gabungan itu akan terus meluas di seluruh Melaka, sekali gus membuka peluang untuk membentuk semula kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Beliau berkata keyakinan itu didorong oleh sokongan rakyat serta prestasi pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr. Ab. Rauf Yusoh sepanjang menerajui negeri berkenaan.
Menurutnya, BN turut memperlihatkan kesepakatan apabila UMNO, MCA dan MIC bersama-sama menyertai pertandingan di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, termasuk menerusi kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
“UMNO bertanding 18 kerusi, MCA empat kerusi dan MIC satu kerusi, manakala selebihnya ditandingi rakan-rakan strategik kita.
“Ini merupakan manifestasi kebersamaan. Ramai menjangkakan kononnya MCA mahu memboikot PRN Melaka atau sekurang-kurangnya merajuk, tetapi perkara itu tidak berlaku.
“Sebaliknya, MCA diberikan empat kerusi dan kita mahu pengundi di Melaka melihat kepada prestasi kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Utama Dr. Ab. Rauf Yusoh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon (PPC) sempena PRN Melaka di Dewan Datuk Kapt. (B) Haji Ab. Karim, Japerun Tanjung Bidara, di sini hari ini.
Ahmad Zahid hadir mengiringi Ab. Rauf yang bertanding mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara dalam pertembungan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Yunazri Mustamiri, yang juga Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Masjid Tanah.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menjelaskan penggunaan gelaran ‘Dr.’ pada nama Ab. Rauf dibuat susulan pengesahan Senat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa Ketua Menteri Melaka itu bakal menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA).
Katanya, pengesahan berkenaan membolehkan penggunaan gelaran tersebut dibuat secara sah mengikut peraturan dan undang-undang berkaitan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kelayakan akademik bukan faktor utama yang menentukan sokongan rakyat, sebaliknya prestasi kepimpinan serta keupayaan kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat lebih penting.
Mengulas mengenai perjalanan kempen PRN Melaka, Ahmad Zahid berharap pilihan raya kali ini dapat berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang fitnah atau serangan peribadi.
Beliau berkata hasrat Ab. Rauf untuk memastikan kempen dijalankan secara bersih dan berhemah turut mendapat persetujuan pihak PH.
“Saya harap apa yang telah dihasratkan oleh Rauf supaya tidak ada kempen fitnah atau mencacat-celakan kempen dengan pelbagai kaedah yang tidak baik, akan benar-benar dilaksanakan oleh semua pihak.
“Yang paling penting, pengundi-pengundi di Melaka telah pun meletakkan di hati dan minda mereka bahawa gelombang biru akan terus melingkungi seluruh negeri Melaka, insya-Allah,” katanya.
Ketika ditanya mengenai sasaran kemenangan BN, Timbalan Perdana Menteri itu berkata keputusan untuk menentukan kerajaan negeri selepas pilihan raya diserahkan sepenuhnya kepada rakyat.
Bagaimanapun, beliau berharap sokongan yang ditunjukkan pengundi dapat diterjemahkan kepada kemenangan bagi membolehkan BN kembali menerajui kerajaan negeri.
“Kita serahkan mandat ini semula kepada rakyat dan rakyat telah meletakkan di hati dan minda mereka untuk bersama-sama dengan kita.
“Saya harapkan perkara ini benar-benar dapat diterjemahkan dan kita berharap selepas ini dapat membentuk kerajaan Barisan Nasional,” katanya.
Ahmad Zahid turut memberi bayangan bahawa Ab. Rauf akan terus dicadangkan sebagai Ketua Menteri Melaka sekiranya BN memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan negeri.
“Dengan tidak mendahului kuasa-kuasa yang ada pada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, tetapi saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional akan mencadangkan bahawa Datuk Seri Utama Dr. Rauf akan terus menjalankan khidmat sebagai Ketua Menteri Melaka, insya-Allah,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online

