Peguam Sahkan Najib Sudah Lunaskan Denda RM50 Juta
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan telah melunaskan bayaran denda sebanyak RM50 juta bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Bayaran berkenaan dibuat di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini.
Peguam Najib, Farhan Muhammad Shafee mengesahkan pembayaran itu selesai dilakukan pada jam 1 tengah hari.
“Ya, sedang selesai proses,” katanya ringkas.
Proses pembayaran bermula apabila seorang pemimpin UMNO hadir ke kaunter bayaran hasil dengan membawa sebuah beg hitam berkunci sebelum resit pembayaran bagi perintah pelepasan Najib dikeluarkan.
Resit berkenaan dipercayai akan diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia sebelum proses pelaksanaan perintah tahanan rumah dapat dijalankan.
Sejak Selasa lalu, timbul spekulasi bahawa Najib akan menjelaskan denda berkenaan bagi membolehkannya menghabiskan baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang arahan daripada Najib berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata, barisan peguam juga tidak dapat menjangkakan sama ada pembayaran itu akan dilakukan dalam minggu ini.
Terdahulu, Muhammad Shafee mengesahkan bahawa lokasi tahanan rumah yang dinyatakan dalam dokumen yang diperoleh adalah kediaman Najib di No. 11, Langgak Duta.
Pada Oktober lalu, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman memaklumkan bahawa Jabatan Penjara Malaysia telah memberikan penjelasan lanjut kepada Najib mengenai mekanisme pelaksanaan tahanan rumah.
Pada 19 September lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Jabatan Penjara Malaysia dijangka menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau kemudiannya mengemukakan petisyen bagi mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.
AKAN MENYUSUL
Sumber : Sinar Harian Online

