Seorang lelaki Palestin mengendong jenazah seorang kanak-kanak yang terbunuh

Tujuh Terbunuh Dalam Serangan Terbaharu Tentera Israel Di Gaza

GAZA – Sekurang-kurangnya tujuh individu dilaporkan terkorban selepas tentera Israel melancarkan beberapa siri serangan terbaharu di sekitar Semenanjung Gaza.

Pertahanan Awam Gaza yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas memaklumkan, dua mangsa termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun maut dalam serbuan tentera Israel di kawasan kejiranan Zeitoun, Bandar Gaza.

Dalam kejadian berasingan di bandar sama, tiga individu terbunuh selepas sebuah bengkel tukang besi menjadi sasaran bedilan. Seorang lagi mangsa pula maut apabila serangan udara mengenai sebuah khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Di bahagian selatan wilayah berkenaan, agensi itu turut memaklumkan kepada agensi berita AFP bahawa seorang lagi individu terkorban akibat tembakan tentera Israel berhampiran Khan Younis.

Kematian kesemua tujuh mangsa berkenaan turut disahkan oleh pihak hospital yang menerima jenazah mereka.

Ketika dihubungi AFP, pihak tentera Israel hanya memaklumkan bahawa pasukannya telah menyasarkan ‘anggota operasi ketenteraan’ di beberapa lokasi, namun tidak memberikan sebarang perincian lanjut mengenai serangan tersebut.

Perkembangan terbaharu itu menyaksikan Israel dan Hamas terus saling menuding jari berhubung dakwaan pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.

Perjanjian berkenaan sebelum ini dicapai selepas peperangan berlarutan selama dua tahun yang tercetus susulan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Gaza yang disahkan boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1,590 rakyat Palestin dilaporkan terkorban sejak gencatan senjata itu dikuatkuasakan.

Sumber : Kosmo Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *