Jen Endoro, Tukang Karut Dan Penyanyi Dikir Barat Terkenal Meninggal Dunia
KOTA BHARU – Dunia seni dikir barat Kelantan kehilangan seorang lagi tokoh tersohor apabila tukang karut dan penyanyi terkenal, Jen Endoro, meninggal dunia pada usia 66 tahun, pagi Selasa.
Allahyarham yang nama sebenarnya Mohammad Zain Ismail menghembuskan nafas terakhir kira-kira 6 pagi di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), di sini, akibat luka dalaman di bahagian perut.
Anak sulungnya, Nur Farahin Mohammad Zin, 33, berkata bapanya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak minggu lepas selepas keadaan kesihatannya merosot.
Menurutnya, Allahyarham sebelum ini terlantar akibat penyakit angin ahmar sejak lima tahun lepas.
“Ayah akan menyambut ulang tahun kelahirannya pada 26 November ini,” katanya ketika dihubungi.
Perjalanan seni Jen Endoro bermula seawal usia 11 tahun apabila beliau mula membawa alat muzik sebelum bergelar tok jogho dan seterusnya menjadi tukang karut terkenal.
Sepanjang penglibatannya dalam seni dikir barat, Allahyarham menghasilkan 11 album dan sembilan cakera padat video (VCD), selain dikenali menerusi lagu popular antaranya Endoro, Mariani dan Bakpo Tok Royak Demo Bini Ore.
Antara pencapaian terbesar beliau ialah dinobatkan sebagai Tukang Karut Terbaik Peringkat Kebangsaan sempena Citrawarna 2001.
Pada 2022, Allahyarham turut diiktiraf sebagai Ikon Legenda Dikir Barat pada Malam Himpunan Dikir Barat di Kota Bharu sebagai penghargaan kerajaan negeri atas sumbangannya dalam memartabatkan seni warisan Kelantan.
Beliau juga pernah membuat persembahan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri serta pembesar dari luar negara.
Allahyarham meninggalkan lima anak, manakala isterinya yang turut menghidap angin ahmar meninggal dunia pada Mei lepas.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Guru, Pulau Melaka, di sini, selepas solat Zohor.
Sumber: Sinar Harian

