Emmanuel Macron Tiba Di KLIA, Disambut Menteri Digital Gobind Singh Deo
SEPANG: Presiden Perancis, Emmanuel Macron tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Pesawat yang membawa Macron, isterinya Brigitte Macron serta anggota delegasi selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.10 pagi.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Macron kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Majlis sambutan ketibaan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan yang menampilkan tarian tradisional, sekali gus menggambarkan kekayaan serta kepelbagaian warisan budaya Malaysia.
Lawatan atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan kunjungan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017.
Esok, Macron dijadualkan menerima upacara sambutan rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, sebelum mengadakan mesyuarat dua hala bersama Anwar.
Pertemuan berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hubungan Malaysia-Perancis ke tahap Perkongsian Strategik, sekali gus mencerminkan hubungan erat serta kepentingan strategik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga dijadualkan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi bidang kerjasama strategik, termasuk pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.
Selain itu, Anwar akan menganjurkan Majlis Makan Tengah Hari bagi meraikan kunjungan Presiden Perancis berkenaan.
Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Perancis mencatatkan nilai RM17.78 bilion (AS$4.17 bilion).
Eksport Malaysia ke Perancis bernilai RM6.05 bilion (USD1.41 bilion), dengan produk elektrik dan elektronik menjadi kategori eksport utama.
Sementara itu, import dari Perancis berjumlah RM11.73 bilion (USD2.76 bilion), yang sebahagian besarnya terdiri daripada peralatan pengangkutan, jentera dan bahan kimia.
Perancis merupakan rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara Eropah.-BERNAMA
Sumber : Utusan Malaysia

