Kastam Perlu Gabung Teknologi Dan Kepakaran Pegawai Kesan Dadah Sintetik
KUALA LUMPUR – Mesin pengimbas berteknologi tinggi dan kecerdasan buatan (AI) yang digunakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mempunyai keterbatasan dalam mengesan dadah sintetik yang dilarutkan ke dalam cecair vape kerana teknologi berkenaan tidak dapat mengenal pasti komposisi kimia sesuatu bahan secara automatik.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen berkata, keadaan itu menjadikan usaha mengesan penyeludupan cecair vape yang dicampur dadah sintetik seperti ‘Piu Piu’ sebagai satu cabaran kepada pihak berkuasa.
Menurut kementerian, teknologi mesin pengimbas dan AI terbina beroperasi berdasarkan pengesanan profil ketumpatan serta bentuk fizikal bahan, bukannya sebagai peralatan untuk menganalisis komposisi kimia.
“Apabila dadah sintetik dilarutkan dalam bentuk cecair, imej yang dipaparkan pada skrin pengimbas hanya menunjukkan cecair organik umum.
“Teknologi berkenaan tidak berupaya mengecam atau melabel secara automatik bahan kimia terlarang yang terkandung di dalamnya,” menurut kementerian itu.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) sebelum ini meminta Menteri Kewangan menjelaskan tahap keberkesanan sistem saringan JKDM dalam mengesan penyeludupan cecair vape bercampur dadah sintetik ‘Piu Piu’, termasuk perancangan untuk menaik taraf mesin pengimbas, teknologi pengesanan serta latihan pegawai di semua pintu masuk negara.
Mengulas lanjut, MOF berkata penggunaan teknologi perlu disokong oleh keupayaan pegawai penguat kuasa dan bukannya bergantung sepenuhnya kepada mesin. Peranan pegawai termasuk melaksanakan pemprofilan penumpang dan pengimport, penilaian risiko berasaskan risikan serta pemeriksaan lanjut terhadap gerak-geri dan barangan yang mencurigakan.
Katanya, kebolehan pegawai penguat kuasa mengenal pasti bahan mencurigakan membolehkan tindakan pemeriksaan, penahanan dan penyitaan dilakukan sebelum sampel berkenaan dihantar ke makmal kimia untuk pengesahan lanjut.
“Pendekatan ini membolehkan mesin pengimbasan dan teknologi AI berfungsi secara saling melengkapi dengan kepakaran pegawai dan pengesahan saintifik,” katanya.
Kementerian turut memaklumkan bahawa JKDM sentiasa berwaspada dan memandang serius usaha membanteras ancaman penyeludupan barang larangan serta memperkukuh kawalan di setiap pintu masuk negara. Usaha itu turut merangkumi pengesanan taktik baharu sindiket yang cuba mengaburi pihak berkuasa, khususnya dalam kegiatan penyeludupan dadah sintetik.
“Bagi memastikan tahap saringan dan keselamatan sempadan kekal utuh dan berkesan, JKDM turut mengoptimumkan penggunaan pelbagai jenis mesin pengimbas berteknologi tinggi sebagai aset strategik dan alat sokongan kritikal dalam operasi penguatkuasaan,” katanya.
Selain itu, kementerian menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh keberkesanan kawalan sempadan menerusi pendekatan bersepadu yang menggabungkan teknologi pengimbasan, risikan, kecekapan pegawai penguat kuasa dan kerjasama antara agensi.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan usaha membanteras penyeludupan dadah sintetik dilaksanakan secara berkesan, teratur dan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Sumber : Metro Online

