Tular Dakwaan Minyak Masak Subsidi Berbahaya, KPDN Jelaskan Fakta Sebenar
KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa minyak masak paket subsidi seberat satu kilogram dihasilkan menggunakan minyak masak terpakai atau minyak kitar semula adalah tidak benar dan merupakan fakta palsu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, maklumat yang tular itu berpotensi menimbulkan keraguan tidak berasas dalam kalangan pengguna.
Beliau berkata demikian ketika mengulas video yang tular sejak kelmarin berhubung dakwaan kononnya minyak masak paket subsidi satu kilogram berbahaya serta tidak selamat untuk digunakan.
Menurutnya, minyak masak paket dijual pada harga rendah iaitu RM2.50 kepada pengguna kerana produk berkenaan menerima subsidi daripada kerajaan.
“Ia adalah program subsidi yang ditanggung oleh kerajaan Malaysia bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Minyak masak ini bukannya dijual murah kerana ia minyak kitar semula. Dakwaan itu tidak betul.
“Malah minyak masak paket subsidi ini perlu ada sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan logo MeSTI singkatan kepada Makanan Selamat Tanggungjawab Industri.
“Logo MeSTI ini adalah skim pensijilan jaminan keselamatan makanan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan sesuatu produk makanan atau minuman dikilangkan dalam keadaan bersih dan selamat untuk dimakan,” katanya ketika dihubungi tadi.
Sebelum ini, media sosial turut digemparkan dengan dakwaan seorang individu yang mengatakan minyak masak paket satu kilogram di pasaran diproses menggunakan minyak masak terpakai.
Individu berkenaan mendakwa minyak masak tulen pula dijual pada harga RM6 sekilogram.
Menurutnya, walaupun minyak masak paket ditawarkan pada harga lebih rendah dan menjimatkan, penggunaan minyak masak kitar semula yang telah digunakan berulang kali boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
Minyak berkenaan didakwa berpotensi menyebabkan aterosklerosis, iaitu pengerasan dan penyempitan pembuluh darah, penyakit jantung, Alzheimer atau nyanyuk serta kerosakan fungsi otak dan kanser.
Bagaimanapun, berdasarkan fakta, minyak masak lama diproses semula untuk dijadikan bahan api mesra alam biodiesel bagi kenderaan berat dan mesin industri. Selain itu, minyak berkenaan turut digunakan sebagai bahan asas dalam penghasilan bahan api rendah pelepasan karbon untuk kapal terbang.
Sumber : Metro Online

