Gambar Hiasan

Pelajar IPT Daripada Keluarga Miskin Jadi Sasaran Sindiket Keldai Akaun

PETALING JAYA: Sindiket penipuan dalam talian dikesan semakin licik apabila menyasarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) daripada keluarga kurang berkemampuan untuk dijadikan keldai akaun dengan menawarkan bayaran serendah RM40.

Kegiatan itu dilaporkan semakin berleluasa di beberapa negeri, khususnya membabitkan penuntut IPT di sekitar Lembah Klang, Selangor dan Pulau Pinang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket berkenaan sengaja memburu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang terdesak memerlukan wang perbelanjaan sebelum memperdaya mereka menggunakan pelbagai helah.

Menurutnya, antara taktik terbaharu yang digunakan adalah mengarahkan mangsa membuka akaun bank digital secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mana-mana cawangan fizikal.

“Proses pendaftaran akaun bank digital yang terlalu mudah, iaitu hanya memerlukan gambar swafoto dan salinan kad pengenalan, menyebabkan pelajar IPT mudah terpedaya tanpa menyedari risiko akaun tersebut disalahgunakan pihak ketiga.

“Ini merupakan taktik sindiket keldai akaun alaf baharu. Jika sebelum ini kita sering mendengar kes menyewakan kad bank fizikal, kini modus operandinya sudah berubah sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin menjelaskan bahawa sindiket berkenaan turut menyembunyikan tujuan sebenar mereka melalui tawaran kerja sambilan, penyertaan kaji selidik berbayar dan skim pinjaman pendidikan bagi mendapatkan maklumat perbankan mangsa.

“Bagi helah tawaran kerja sambilan, pelajar diminta membuka akaun bank kononnya sebagai syarat wajib sebelum diterima bekerja, namun mereka kemudiannya dimaklumkan permohonan tersebut gagal.

“Scammer kata tak lulus. Pelajar itu pula terima bulat-bulat keputusan tersebut tanpa mengetahui perkara sebenar. Selepas tiga hingga enam bulan, baru mangsa tahu.

“Ada juga mangsa menyangka mereka hanya diminta menyertai kaji selidik, sedangkan maklumat peribadi yang diberi digunakan untuk membuka akaun bank tanpa pengetahuan mereka,” katanya.

Hishamuddin berkata, sindiket turut memperdaya mangsa menerusi tawaran pinjaman pendidikan apabila mereka diminta menyerahkan nama pengguna dan kata laluan perbankan.

“Sindiket meminta maklumat berkenaan dengan alasan wang pinjaman akan dimasukkan ke dalam akaun tersebut. Disebabkan terdesak perlukan wang, pelajar terlibat menyerahkan maklumat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kebiasaannya hanya menyedari akaun mereka telah disalahgunakan apabila dihubungi pegawai penyiasat polis atau mendapati akaun bank dibekukan selepas dikaitkan dengan laporan penipuan.

“Keadaan itu boleh menyebabkan mangsa berdepan beberapa siasatan berasingan, selain menanggung beban kewangan dan berisiko mempunyai rekod jenayah,” tambahnya.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa kes membabitkan pelajar IPT, termasuk seorang pelajar undang-undang di sebuah kolej swasta yang didenda sebanyak RM500 selepas mengaku bersalah membenarkan akaun bank miliknya digunakan sebagai akaun keldai bagi transaksi haram.

Pada April tahun lalu, seorang pelajar lelaki dari sebuah kolej turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas tuduhan menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam talian atau scammer.

Terdahulu, pada Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa trend pelajar IPT membenarkan akaun bank peribadi mereka digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian semakin membimbangkan.

Saifuddin berkata, sindiket berkenaan dikesan menawarkan bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan kepada pelajar sebagai ganjaran untuk menggunakan akaun mereka bagi tujuan pemindahan wang haram.

Sumber : Kosmo Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *