Kereta EV Bergerak Sendiri, Cuba Parkir 868 Kali Sepanjang Malam
BEIJING – Sebuah kereta elektrik (EV) tanpa pemandu di China mencuri perhatian selepas dipercayai melakukan percubaan parkir automatik sebanyak 868 kali sepanjang malam di ruang parkir bawah tanah sebuah kawasan perumahan.
Kejadian luar biasa itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tular di media sosial negara berkenaan.
Pemilik kenderaan yang menyemak rekod sistem mendapati fungsi parkir automatik keretanya diaktifkan sebanyak 868 kali dalam tempoh berkenaan.
Rakaman CCTV menunjukkan kenderaan itu berulang kali bergerak mengundur tanpa pemandu, dengan kejadian dipercayai berlaku dari tengah malam hingga awal pagi.
Seorang pengawal keselamatan turut dilihat memerhatikan gelagat kenderaan berkenaan.
Beberapa rakaman lain yang memaparkan kejadian seumpama itu turut tular, termasuk video dua model kenderaan Avatr 06 dan Avatr 12 yang melakukan gerakan parkir secara serentak di ruang bersebelahan.
Kedua-dua kenderaan itu dilihat mengulangi pergerakan hampir sama ketika cuba memasuki petak parkir masing-masing.
Antara kemungkinan yang dikaitkan dengan insiden itu ialah pemilik menggunakan aplikasi telefon pintar untuk menggerakkan kenderaan keluar dari petak sebelum mengaktifkan semula fungsi parkir automatik.
Selain itu, keadaan pencahayaan yang kurang baik atau garisan petak parkir yang semakin pudar mungkin mengganggu keupayaan sistem mengesan ruang parkir.
Kerosakan perisian yang menyebabkan sistem mengulangi proses parkir juga tidak boleh diketepikan.
Insiden itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, dengan sesetengahnya berseloroh menyifatkan kenderaan berkenaan seolah-olah mengalami gangguan obsesif-kompulsif (OCD) kerana berulang kali mencuba sehingga berjaya diparkir dengan sempurna.
Sumber: Agensi

