Dua Lelaki Rentung Dalam Proton Saga BLM Selepas Kemalangan Di Rengit

BATU PAHAT: Dua lelaki rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan berhampiran tempat cuci kereta Projek Kilat di Jalan Jaya Diri, Rengit, di sini malam tadi.

Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Rengit, Penolong Penguasa Bomba Norhisam Abdul Talib berkata, kejadian pada jam 8 malam itu membabitkan dua kenderaan, masing-masing jenis Proton Wira dan Proton Saga BLM.

Menurutnya, Proton Wira dinaiki seorang lelaki dewasa berusia 37 tahun bersama seorang wanita warga emas berusia 61 tahun.

Sebuah lagi kenderaan, iaitu Proton Saga BLM, pula dinaiki dua lelaki berusia 22 dan 17 tahun. Kedua-dua mereka dilaporkan tersepit sebelum rentung di dalam kenderaan berkenaan.

“Mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Wira dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk diberikan rawatan awal.

“Dua mangsa rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya selepas berjaya dikeluarkan sebaik api berjaya dipadamkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhisam berkata, identiti kedua-dua mangsa serta nombor pendaftaran Proton Saga BLM berkenaan masih belum dapat dikenal pasti.

Sumber : Kosmo Online

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *