Anak Muda Eropah Turun Ke Jalan, Tuntut Kos Hidup Lebih Rendah
PARIS – Golongan muda Generasi Z (Gen Z), yang lahir antara 1997 hingga 2012, mengetuai demonstrasi di seluruh Eropah bagi membantah pelbagai isu, termasuk kekurangan peruntukan pendidikan dan kos perumahan yang semakin tinggi.
Gelombang bantahan itu memberikan cabaran besar kepada kerajaan di rantau berkenaan yang sudah berdepan tekanan daripada golongan muda.
Punca ketidakpuasan hati berbeza mengikut negara. Di Sepanyol, misalnya, tindakan mengusir seorang warga emas berusia 87 tahun, Maricarmen Abascal, dari kediamannya mencetuskan gelombang bantahan.
Di Perancis pula, sekumpulan pelajar mengadakan demonstrasi bagi menyokong guru yang melancarkan mogok. Sementara itu, bantahan pelajar di Albania telah berlangsung sejak beberapa bulan lalu, bermula dengan penentangan terhadap rancangan pembangunan mewah yang disokong oleh Jared Kushner, menantu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Hampir 800,000 orang menyertai demonstrasi terbaharu di seluruh Perancis pada Sabtu, termasuk 250,000 orang di Paris, menurut CGT, salah sebuah kesatuan sekerja yang menganjurkan perhimpunan itu.
Bagaimanapun, polis Paris sebelum ini menganggarkan seramai 110,000 penunjuk perasaan menyertai demonstrasi di ibu negara berkenaan.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez, berkata polis menahan hampir 1,000 orang dalam demonstrasi di seluruh negara pada Sabtu.
Di Itali, pasukan keselamatan dikerahkan secara besar-besaran bagi mengawal demonstrasi yang disertai ribuan orang, meskipun tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan susulan pertempuran ganas yang berlaku sebelum ini.
Polis memaklumkan sembilan peserta protes ditahan, manakala 371 lagi, termasuk 110 individu bawah umur, ditahan sementara dan dibawa ke balai polis di lapan bandar ketika pertempuran tercetus dalam beberapa demonstrasi.
Bantahan berkaitan isu perumahan yang berlaku di Sepanyol turut merebak ke Portugal.
Naib Presiden Kesatuan Pelajar Utama Perancis (UNEF), Alice de Brito, berkata kesatuan pelajar di seluruh Eropah turut berkongsi pandangan dan pengalaman berhubung isu yang dihadapi golongan muda.
“Saya melihat jauh lebih banyak persamaan berbanding perbezaan. Kita semua bercakap tentang keperluan meningkatkan pelaburan dalam pendidikan, universiti dan golongan muda secara umum. Namun, kita juga membangkitkan isu kos sara hidup dan perumahan,” katanya.
Tuntutan serupa turut disuarakan pemimpin kesatuan pelajar Itali, Sabrina Brizzola, ketika berucap dalam satu perhimpunan minggu lalu.
“Mari kita bersuara menuntut sekolah yang tidak runtuh menimpa kepala kita, pekerjaan yang selamat dan bermaruah, perkhidmatan kesihatan awam serta keadilan sosial,” katanya.
Pengasas bersama merangkap ketua pengarang buletin harian European Correspondent, Julius Fintelmann, berkata demonstrasi itu mencerminkan kekecewaan golongan muda terhadap politik Eropah yang dilihat gagal memenuhi keperluan generasi akan datang.
Beliau berkata, selain isu pendidikan dan perumahan, ketidaktentuan pasaran pekerjaan yang semakin meningkat turut menyumbang kepada kemarahan Gen Z.
Keadaan itu termasuk kesan kecerdasan buatan (AI) yang semakin ketara terhadap pekerjaan peringkat permulaan, selain krisis iklim.
“Pada asasnya, apa yang kita lihat ialah janji demokrasi liberal bahawa generasi seterusnya akan menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding generasi semasa tidak lagi menjadi kenyataan,” katanya kepada CNN.
Sumber : Utusan Malaysia Online

