Bekas Anggota Polis Dakwa Jadi Mangsa Kekerasan Tidak Teruskan Saman Shuhaily
KUALA LUMPUR – Seorang bekas anggota polis tidak akan meneruskan tindakan saman sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berhubung dakwaan insiden kekerasan di Hilir Perak, 11 tahun lepas.
Peguam Kamal Hisham Ja’afar berkata, tindakan saman berkenaan tidak dapat difailkan berikutan terhalang oleh Seksyen 6 Akta Had Masa 1953 yang menetapkan tempoh had masa enam tahun bagi tindakan sivil berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata anak guamnya berharap laporan polis yang dibuat pada 2015 dapat diteliti, disiasat dan dipertimbangkan secara adil oleh pihak polis serta Peguam Negara (AG).
“Laporan berkenaan merupakan satu-satunya ruang dan peluang yang masih ada untuk anak guamnya mendapatkan keadilan.
“Pengadu menyerahkan sepenuhnya kepada kuasa budi bicara dan kebijaksanaan AG untuk mengambil tindakan seadil-adilnya,” katanya dalam kenyataan bersama seorang lagi peguam, Muhammad Nor Tamrin.
Pada 28 Oktober lepas, laporan seorang bekas anggota polis mendakwa pernah menjadi mangsa kekerasan Mohd Shuhaily ketika pegawai kanan itu bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak pada 19 November 2015.
Kamal Hisham sebelum ini mendakwa tiada tindakan diambil berhubung laporan berkenaan dan memohon AG meneliti semula perkara itu.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Mohd Shuhaily mempersoalkan sama ada tindakan membangkitkan dakwaan berkenaan bertujuan membentuk persepsi negatif terhadap anak guamnya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan bekas anggota polis itu membangkitkan perkara berkenaan selepas lebih sedekad berlalu.
Perkembangan itu menyusul selepas Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lepas berhubung dakwaan melakukan kekerasan terhadap dua anggota polis di kaunter J, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara 1.17 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamal Hisham berkata saman yang difailkan oleh dua anggota polis berkenaan berjaya diserahkan kepada peguam Mohd Shuhaily pada 11 November lepas.
Mahkamah menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi kehadiran pihak-pihak terlibat.
Sumber: Sinar Harian

