Perkongsian mengenai keadaan kesihatan Tengku Puteri Zainah di akaun Facebook Nizar Najib dan Najib Razak. - Foto Facebook

Bekas Isteri Najib Kritikal Di ICU, Nizar Mohon Orang Ramai Doakan Kesembuhan Buat Ibu

SHAH ALAM – Keadaan kesihatan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, bekas isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dilaporkan kritikal dan kini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Perkara itu dimaklumkan anak sulungnya Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib menerusi hantaran di Facebook pada Rabu yang turut memohon orang ramai mendoakan kesihatan ibunya.

“Dengan penuh rasa rendah hati, saya memohon doa daripada seluruh sahabat handai, saudara-mara dan kenalan agar sama-sama mendoakan kesihatan bonda tercinta, Tengku Puteri Zainah yang kini sedang menerima rawatan di ICU.

“Keadaan bonda masih kritikal. Semoga ALLAH SWT mengangkat segala kesakitan, memberikan kekuatan dan mengurniakan kesembuhan buat bonda,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, akaun Facebook Najib Razak turut berkongsi maklumat mengenai keadaan kesihatan Tengku Puteri Zainah serta menitipkan doa agar beliau diberikan kekuatan dan kesembuhan.

“Kami mendoakan agar ALLAH SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini.

“Semoga ALLAH SWT mengangkat segala kesakitan, mempermudahkan urusan rawatan dan mengurniakan kesembuhan yang terbaik buat beliau,” menurut hantaran itu.

Tengku Puteri Zainah, 65, dilaporkan sedang menerima rawatan di ICU Aras 1, Hospital Gleneagles Ampang.

Beliau mempunyai tiga anak hasil perkahwinan dengan Najib, iaitu Nizar, Putri Norlisa dan Mohd Nazifuddin.

Sumber: Sinar Harian

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *