Gagal Patuhi Syarat, Mandat Kerajaan Perlu Dikembalikan Kepada Rakyat – Asyraf Wajdi
MELAKA: UMNO memberi amaran tegas kepada DAP agar kembali mematuhi syarat serta garis merah yang telah dipersetujui ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan, termasuk larangan mempersenda institusi Raja-Raja Melayu, agama Islam dan keistimewaan orang Melayu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya mana-mana pihak dalam kerajaan merasakan mereka tidak lagi mampu mematuhi syarat yang telah dipersetujui, mandat sewajarnya diserahkan semula kepada rakyat.
Beliau menjelaskan bahawa kegagalan mematuhi syarat berkenaan boleh menyebabkan perjanjian yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan dianggap terbatal.
Menurutnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat mengambil jalan pintas dengan menukar kerajaan atau Perdana Menteri melalui tindakan yang disifatkan sebagai ‘tebuk atap’.
Sebaliknya, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan hala tuju pemerintahan negara.
“Cuma saya hendak cakap beginilah, saya nak memperingatkan kepada pimpinan DAP, kembali kepada perjanjian yang dimeterai sewaktu pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Kita ada dua perjanjian penting. Pertama, Perjanjian BN dan Pakatan Harapan (PH) dan kedua, Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Dalam perjanjian itu, kita telah menggariskan syarat-syarat yang jelas bahawa kerajaan ini diwujudkan bersama atas titah Yang di-Pertuan Agong dengan beberapa parameter dan garis panduan yang telah dipersetujui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Pentas Grand Finale Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka BN-Perikatan Nasional (PN) di Dewan Mualim Haji Abdul Wahid di sini malam tadi.
Asyraf Wajdi berkata, antara perkara yang wajib dihormati semua pihak ialah kesetiaan terhadap institusi negara, selain larangan mempersenda Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong, agama Islam dan keistimewaan orang Melayu.
“Kalau mereka sudah mula merasakan bahawa mereka tidak boleh lagi berpegang kepada syarat-syarat ini, maka dengan sendirinya perjanjian itu akan terbatal.
“Bila sudah terbatal, maka secara gentleman, kita serahkan balik mandat itu kepada rakyat.
“Jangan menyusahkan rakyat dengan polemik berterusan yang menyebabkan kerajaan tidak stabil dan pandangan buruk pelabur terhadap Malaysia,” katanya.
Beliau turut berkata, negara kini semakin menghampiri tempoh matang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), berdasarkan rekod tempoh pilihan raya sebelum ini.
“BN jelas. Presiden UMNO selalu menyebut, kita tidak mahu tebuk atap dan tidak ada pertukaran Perdana Menteri.
“Yang kita mahu ialah serahkan balik mandat ini kepada rakyat kerana kita melihat sudah ada pihak yang melanggar garis-garis merah yang kita letakkan,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online

