Ibu Dan Anak Berkhidmat Di Hospital Sama, Kongsi Pengalaman Dunia Perubatan
KOTA BHARU: Hubungan kekeluargaan antara ibu dan anak bukan sahaja terjalin erat dalam kehidupan seharian, malah menjadi lebih istimewa apabila kedua-duanya turut berkhidmat dalam bidang perubatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
Lebih menarik, bidang tugas dan kepakaran masing-masing adakalanya menemukan mereka di dalam bilik pembedahan. Situasi itu pastinya memberikan pengalaman tersendiri apabila hubungan ibu dan anak turut disatukan menerusi tanggungjawab profesional dalam dunia perubatan.
Prof Dr Shatriah Ismail, 56, yang merupakan pakar mata kanak-kanak di hospital berkenaan berkata, anak sulungnya, Dr Nik Luqmanul Hakim Nik Ahmad Zuky, 31, turut berkhidmat di hospital sama sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Anestesiologi.
Menurutnya, peluang untuk bertugas bersama anaknya memberikan kegembiraan tersendiri kerana kebiasaannya jadual kerja pakar perubatan ditentukan berdasarkan giliran dan bidang kepakaran masing-masing.
“Walaupun kami mempunyai bidang kepakaran dan tanggungjawab berbeza, peluang bekerja di bawah satu bumbung serta sesekali bekerjasama dalam prosedur pembedahan menjadi pengalaman yang cukup bermakna.
“Saya menjalankan prosedur pembedahan mata, manakala anak pula bertanggungjawab mengendalikan pembiusan serta memastikan keselamatan pesakit di bawah pengawasan Pakar Anestesiologi sepanjang prosedur berlangsung.
“Keadaan ini bukan sahaja membolehkan kami memahami tuntutan serta cabaran kerjaya masing-masing, malah secara tidak langsung membuka ruang untuk saling berkongsi pengalaman, pengetahuan dan pandangan dalam bidang perubatan,” katanya.
Beliau berkata, meskipun mempunyai peranan serta tanggungjawab yang berbeza, mereka tetap berkongsi matlamat sama, iaitu memberikan rawatan terbaik kepada pesakit selain memastikan setiap prosedur pembedahan berlangsung dengan lancar dan selamat.
“Kepakaran dalam bidang oftalmologi, khususnya rawatan mata juling, memerlukan ketelitian serta pengalaman bagi membantu pesakit meningkatkan fungsi penglihatan sekali gus memperbaiki kualiti hidup mereka.
“Dalam pada itu, tugas anak saya sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Anestesiologi pula menuntut tahap profesionalisme, ketenangan dan kecekapan yang tinggi bagi memastikan keselamatan pesakit sentiasa terpelihara sebelum, semasa dan selepas pembedahan,” katanya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, walaupun mempunyai pertalian kekeluargaan dan bekerja di bawah satu bumbung, profesionalisme tetap menjadi keutamaan ketika menjalankan tugas tanpa membiarkan hubungan peribadi mempengaruhi tanggungjawab masing-masing.
“Apabila berada di tempat kerja, kami perlu bersikap profesional dan mengetepikan perasaan peribadi bagi memastikan setiap tugasan, khususnya berkaitan rawatan serta prosedur pembedahan, dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat demi kepentingan pesakit,” katanya.
Dr Shatriah turut meluahkan rasa syukur dan gembira apabila anak yang suatu ketika dahulu masih kecil dan dihantar ke sekolah kini sudah dewasa serta berpeluang bekerja bersamanya.
“Situasi ini adalah satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan, apatah lagi apabila dapat melihat anak turut mengikuti jejak langkah dalam bidang perubatan,” katanya.
Beliau berkata, selain anak sulungnya, tiga lagi anaknya turut memilih bidang perubatan sebagai laluan kerjaya.
Anak keduanya, Dr Syamim Firdaus, 30, kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kepakaran Obstetrik dan Ginekologi (O&G).
“Dr Nik Zahid Asyraf, 25, baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang perubatan, manakala anak bongsu saya, Nik Aimi Munirah, 23, masih mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di sebuah universiti awam di Malaysia,” katanya.
Sumber : Metro Online

